UMW Toyota Motor melancarkan model generasi keempat Toyota Vios 2023, sedan sub kompak popular paling laris dalam pasaran kereta bukan nasional Malaysia.
Model baharu yang amat dinanti-nantikan itu menawarkan prestasi lebih baik, pecutan pantas dan teknologi baharu menjadikannya pilihan menarik kepada pemiliknya.
Vios Serba Baharu – Ciri-ciri Menarik Luaran dan Dalaman
Selaras dengan trend Toyota dalam menawarkan kereta lebih baik, Toyota menggabungkan teknologi automotif termaju dengan spesifikasi dinaik taraf bagi menyediakan nilai terunggul dalam pemilikan Toyota Vios Serba Baharu.
Dipadankan enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i dengan transmisi tujuh kelajuan CVT Sequential Shiftmatic. Ia memberikan pecutan lebih tangkas, selain meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api.
Toyota Safety Sense (TSS) pula menawarkan ciri keselamatan yang terbaik menerusi penggunaan teknologi termaju kepada pemandu dan penumpang. TSS memberi amaran kepada pemandu mengenai bahaya dan bertindak balas secara autonomi bagi mencegah atau mengelakkan pelanggaran.
Pemandu juga akan dapat menikmati paparan gred tinggi dan keselesaan yang lebih baik. Tempat duduk hadapan direka bentuk semula untuk posisi pemanduan selesa serta sokongan yang lebih baik.
Fungsi baharu seperti Paddle Shifters dan Electronic Parking Brake menambahkan lagi kemudahan kepada semua pemandu. Menjangkaui sekadar sentuhan elegan, Toyota Vios Serba Baharu kini mengetengahkan pengalaman premium secara menyeluruh dengan bahan lebih baik dan lebih lembut di seluruh kabin.
VIDEO PANDU UJI TOYOTA VIOS 2023
Standard Pembuatan Tiada Tandingan Vios Serba Baharu
Dikilangkan di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, ia memenuhi standard kualiti di seluruh rantaian proses pemasangan yang cekap sejajar dengan “Toyota Way”. Tarikan baharu Toyota Vios ialah di mana ia menjadi kenderaan pertama yang menggabungkan teknologi terkini ketika proses pemasangan.
Ia menggunakan Ultra High Tensile Materials, Continuous Frame Design, dan Increased Welding Spots memberikan ia ketegaran bahan kereta yang lebih tinggi. Ruang enjin juga direka semula, selain mampu mengurangkan beratnya.
Tawar Dua Varian
Vios Serba Baharu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 G (AT) dan 1.5 E (AT) dengan nilai terbaik. Ditawarkan dengan lima pilihan warna dengan Spicy Scarlet tampil sebagai pilihan terkini.
Toyota Vios Serba Baharu hadir dengan waranti 5-tahun dan perbatuan tanpa had. Pemilik juga akan menikmati perkhidmatan 24SEVEN Road Assist dan langganan percuma selama tiga tahun Toyota Vehicle Telematics System yang akan memantau lokasi kereta setiap masa.
Harga Toyota Vios Serba Baharu:
- Toyota Vios 1.5 G (AT): RM95,500
- Toyota Vios 1.5 E (AT): RM89,600