Boleh guna selain Touch ‘n Go untuk pengangkutan awam selepas ini

673

Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementerian mengaplikasi satu sistem pembayaran terbuka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata buat masa ini tempoh beberapa bulan diperlukan untuk mengintegrasikan sistem pembayaran terbuka itu.



“Umpamanya kalau guna LRT, sekarang ini hanya dua pilihan iaitu pergi ke mesin layan diri dan beli token atau guna Touch n Go (TnG).

“Jadi kita nak aplikasikan satu sistem pembayaran terbuka yang mana selain TnG, apa juga jenis kad, sama ada kad kredit atau debit, boleh sentuh dan masuk.

“Sistem ini akan kita mulakan tidak lama lagi untuk pengangkutan awam khususnya di bawah Prasarana untuk bas, LRT, Transit Aliran Massa (MRT)..begitu juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sudah diarahkan untuk buat sistem sama,” katanya. 

Loke berkata demikian ketika ditanya maklum balas berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi bayangan monopoli Touch ‘n Go mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Semalam, ketika sesi soal jawab terbuka bersama belia yang diadakan buat julang kalinya di program Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023), Perdana Menteri berkata Touch n Go beroperasi selama dua dekad namun tidak meyakinkan atau mempunyai perkembangan.

Menjawab soalan sama ada kerajaan mempunyai sebarang perancangan untuk melihat semula Touch ‘n Go, Anwar berkata: “saya rasa anda betul.”

Mengulas lanjut, Loke berkata pihaknya juga mengambil maklum rungutan daripada orang ramai, yang kata kadang kala tidak ada pilihan apabila berada di lebuh raya dan perlu menggunakan TnG.

“Perkara ini (rungutan) Perdana Menteri pernah mengarahkan dan dibincang dalam Kabinet sebelum ini yang mana Perdana Menteri minta isu ini diselesaikan dengan cepat supaya dapat dibuka kepada cara sistem pembayaran yang lebih banyak,” katanya.

Selain itu Loke berkata, sistem pembayaran terbuka itu juga mengambil contoh pembayaran parkir di ibu negara yang mana selain TnG, pembayaran boleh dibuat cara lain.

“Namun bagi soal tol, itu terpulang kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) , saya tidak boleh jawab bagi pihak mereka,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here