Pemilik stesen minyak didenda RM40k benarkan kereta Singapura isi RON 95

979

Seorang pemilik stesen minyak didenda RM40,000 di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru kerana membenarkan kereta pendaftaran asing mengisi petrol RON 95 empat tahun lalu.

Phan Chib Chan, 59, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di depan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim pada Selasa (21 Mac).



Mengikut kertas pertuduhan, Phan gagal mematuhi larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Tun Abdul Razak Susur 4 pada jam 10.40 pagi, 13 Mei 2019.

Phan membenarkan kenderaan Singapura mengisi 54 liter petrol RON 95 bernilai RM113.30, yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tiga tahun.

Pendakwaan kes oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Ikhlas Raja Ariff, manakala Phan diwakili oleh Lim Chon Sim.

Ketika pendakwaan, Muhamad Sabiq turut memaklumkan mahkamah bahawa Phan sebelum ini diberi notis kompaun atas kesalahan sama pada 2014 dan 2017.

Terdahulu, Che Wan Zaidi dalam penghakimannya berkata kesalahan itu sering dilaporkan berlaku di sepanjang sempadan negara dan denda RM40,000 itu bertujuan untuk dijadikan pengajaran kepadanya dan pemilik stesen minyak lain.

Sementara itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor, Lilis Saslinda Pornomo memaklumkan pihaknya kini sedang menyiasat 22 lagi kes penjualan RON 95 kepada kenderaan asing.

“Kami sedang menyediakan kertas siasatan kerana ini adalah kesalahan yang sangat serius yang menyebabkan kerugian besar kepada negara,” katanya.

Beliau juga berkata seramai enam pemilik stesen minyak telah diberi jumlah notis kompaun bernilai RM10,000 bagi kesalahan sama dari Januari hingga 20 Mac tahun ini.

Phan telah membayar denda itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here