Tesla menang saman fitnah TikToker China, dapat ganti rugi RM64k

695

Tesla menang kes saman fitnah terhadap pengulas kereta terkenal dan selebriti TikTok yang dikenali sebagai Boss Cai.

Pada Jun 2022, Tesla menyaman Boss Cai (nama sivil Cai Jia) atas dakwaan mencalar reputasi jenama itu kerana  menyebarkan khabar angin palsu melalui video yang disiarkan di saluran Douyinnya (Douyin ialah nama Cina untuk TikTok).



Jenama kereta elektrik (EV) itu menuntut pampasan sebanyak CNY 5 juta (RM3.24 juta). Pada bulan Oktober, mahkamah mendapati kandungan video itu adalah rekaan yang bertujuan menghina dan memfitnah Tesla.

Boss Cai diarahkan untuk meminta maaf kepada Tesla di rangkaian sosial media TikTok, WeChat dan Weibo selama sekurang-kurangnya 90 hari dan membayar pampasan sebanyak CNY 100,000 (RM64,905).

Kemudian, pempengaruh itu membuat rayuan kepada mahkamah dan perbicaraan kedua iaitu pada 7 Februari lalu mengekalkan keputusan asal. 

Justeru itu, Boss Cai akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Tesla dalam tempoh 15 hari.

Insiden itu bermula pada 2021, menerusi video Boss Cai mendakwa rakannya yang bekerja sebagai pembekal Tesla mendedahkan beberapa pelanggaran kerjasama dengan pembekal.

Dia mendakwa syarikat itu berulang kali menekan pembekal untuk menurunkan harga. Selain itu, pemeriksa kualiti Tesla tidak melakukan kerja dengan baik dan sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan kelebihan peribadi.

Menurut dokumen mahkamah, adalah mustahil mengundang ‘rakan’ Boss Cai memberi keterangan di mahkamah. Ini kerana dia mendakwa terlupa nama rakannya. 

Tesla menyatakan Boss Cai gagal memberikan bukti untuk menyokong keaslian kandungan video berkenaan.

Selain itu, Tesla menyatakan Boss Cai mempromosikan syarikatnya dalam video tersebut, dan disyaki dia menggunakan tuduhan Tesla untuk meningkatkan pengikut dan membuat publisiti.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here