Asyik tengok Waze, Perodua Bezza langgar warga emas

1088

Gara-gara terlalu asyik melihat aplikasi Waze di telefon pintar, pemandu Perodua Bezza merempuh warga emas sehingga maut dalam kejadian di KM 8.7 Jalan Machang-Pasir Puteh dekat Kampung Belukar, Machang.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa, Yah Awang, 63, yang menunggang  Modenas Kriss diseret sejauh 20 meter sebelum tercampak ke bahu jalan dan meninggal di tempat kejadian. 

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati, seorang tukang masak berusia 25 tahun yang memandu Perodua Bezza dalam perjalanan dari Kuala Besut, Terengganu menuju ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.



Lelaki itu dipercayai sedang melihat aplikasi Waze pada telefon pintar yang diletakkan di atas paha untuk melihat laluan ke HSIP.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, tukang masak itu dipercayai tidak menyedari kereta dipandunya masuk ke bahu di sebelah kiri jalan.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu kereta itu terkejut sebelum merempuh motosikal ditunggang Yah yang berada di laluan tersebut,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

Siasatan mendapati nahas berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang memandu sambil menggunakan telefon pintar dan tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan.

Tukang masak itu ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here