Gara-gara membawa kad pengalanan individu lain, identiti seorang daripada dua mangsa kemalangan maut di KM55 Jalan Pekan-Rompin dekat Nenasi, Pekan pagi tadi nyaris tertukar.
Dalam kejadian 8.46 pagi itu, pasukan penyelamat menyangka mangsa yang meninggal dunia adalah Jemilah Awang Ngah, 74, dari Kampung Jambu, Mukim Langgar berikutan penemuan kad pengenalan warga emas tersebut pada mangsa.
Bagaimanapun, identiti sebenar mangsa kemudian dikenalpasti sebagai Ruzana Mohamad Agin, 50, dari Perumahan Dato Shahbandar, Pekan, namun hubungan sebenar kedua-dua individu berkenaan belum dikenalpasti.
Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia adalah Suhaizan Abdullah, 41, dari Kampung Bentan, Kuala Pahang yang bertugas sebagai Pembantu Perangkaan di Jabatan Perangkaan Pahang.
Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian ketika melalui selekoh ke kiri, kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas akibat jalan licin menyebabkan kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan treler yang datang dari arah hadapan.
“Akibat kemalangan itu, Ruzana yang memandu kereta terbabit manakala Suhaizan yang duduk di tempat duduk hadapan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Siasatan di lokasi kejadian juga mendapati jalan terbabit mempunyai satu lorong dua hala, manakala cuaca juga mendung selepas hujan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberikan maklumat.