Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan SUV baharunya Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC untuk pasaran tempatan.
Buat masa ini, hanya satu varian sahaja diperkenalkan yang mana ia dijual bermula RM429,888, ia adalah model import sepenuhnya (CBU).
@motoqar Mercedes-Benz GLC 300: Apa yang menarik dengan SUV ini. Harganya dijual bermula RM429,888. #motoqar #kecekkelate #mercedesbenz #mercedesbenzglc300 #tiktokreviews #mercedesbenzmalaysia ♬ original sound – Motoqar
Ini ciri istimewa Mercedes-Benz GLC 300 yang anda kena tahu:
Bentuk bintang tiga bucu kecil memenuhi gril hadapan
Dari segi reka bentuknya, terutama bahagian hadapan boleh dilihat menggunakan gril baharu. Gril itu kini tampil dengan kilauan bintang tiga bucu seperti logo Mercedes-Benz. Di bahagian belakang pula, terdapat kemasan krom pada ekzos manakala lampu belakang mempunyai rekaan lebih tipis, selain didatangkan rim AMG 20 inci. Dimensi bagi GLC 300 pula ia hadir dengan panjang ialah 4,716mm, 1,890mm (lebar), 1,640mm (tinggi) dan jarak roda pada 2,888mm. Ia sebenarnya lebih panjang 15mm untuk jarak rodanya.
Susun atur dan rekaan papan pemuka dilihat seperti pada S-Class
Menjengah ruang kabin, susun atur dan rekaan papan pemuka dilihat seperti pada S-Class. Apa yang menariknya, turut didatangkan kemasan gentian karbon untuk membuatkan lebih sporty. Pada papan pemuka mempunyai instrumen LCD penuh 12.3 inci berserta fungsi navigasi MBUX AR, skrin sentuh MBUX 11.9 inci, dengan ketersambungan Apple CarPlay atau Android Auto, panel pengecasan wayarles dan sistem audio Burmester 3D dengan 15 pembesar suara. Tempat duduk dibalut kemasan kulit ARTICO. Upholsteri dua warna (sienna brown black) juga tersedia bagi unit CBU terhad.
Sistem hibrid ringan MHEV
Dari segi prestasinya, GLC300 4MATIC menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol. Ia menyalurkan 255hp dan tork setinggi 400Nm. Kuasa itu disalurkan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, serta sistem pacuan empat roda 4Matic dan sistem mild-hybrid 48-volt. Mercedes-Benz juga memperkenalkan sistem hibrid ringan MHEV membabitkan integrated starter-generator (ISG) di mana ia mendapat kuasa tambahan sebanyak 23hp dan tork 200Nm. Untuk rekod, had kelajuan dihadkan pada 240km/j manakala daya pecutan 0-100km/j hanya mengambil masa 6.2 saat.
Ciri keselamatan dan pilihan warna
Ciri keselamatan dan bantuan pemandu terdiri daripada kawalan melayar pasif, kamera 360-darjah, Active Parking Assist dengan Parktronic, peninjau titik buta, bantuan aktif mengekalkan lorong, Pre-Safe dan AEB. Bagi pilihan warna, ia ditawarkan dengan Obsidian Black, Graphite Grey, Mojave Silver, High-Tech Silver, Spectral Blue dan Selenite Grey. Pilihan warna Diamond White Bright dan Hyacinth Red pula perlu membayar sebanyak RM5,000.