Perodua memperkenalkan pakej servis khas kepada pemilik Axia dan Bezza mempromosikan servis Auto Rahmah 2023 sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Pakej servis khas berkenaan adalah maklum balas kepada Pakej AUTO RAHMAH yang baru dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Bawah program PAYUNG RAHMAH yang bertujuan mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat.
Kempen servis khas ini, yang dikenali sebagai Perodua Auto Rahmah 2023. Terdiri diskaun 30 peratus untuk jumlah keseluruhan di dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh.
Untuk melayakkan diri bagi kempen ini, pemilik Axia dan Bezza dikehendaki membuat janji temu di pusat servis Perodua yang berhampiran. Kempen ini akan berlangsung mulai 12 April hingga 15 Mei 2023. (Tertakluk kepada Terma dan Syarat).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelanggan Axia dan Bezza.
Menurutnya, ia adalah untuk membantu memenuhi keperluan mereka dan pada masa yang sama mengurangkan kos sara hidup.
“Axia dan Bezza adalah model kami yang paling popular dan digunakan secara meluas sebagai mod pengangkutan utama oleh pelanggan.
Oleh itu, kami ingin memastikan usaha yang dibuat dapat dinikmati oleh golongan sasar dan memberikan ketenangan semasa memandu,” katanya.
Menurutnya, ini adalah lebih penting dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba kerana pemilik kenderaan merancang untuk melakukan perjalanan jauh untuk bersama keluarga tersayang.