Yamaha Y15ZR Movistar GP (2018) didatangkan dengan coverset seragam Movistar dengan logo putih.
Model keluaran tahun tersebut menerima warna badan biru mewakili pasukan Yamaha-Movistar. Selain itu, perbezaan yang jelas adalah rim biru yang dikembalikan semula pada edisi 2018.
Hanya sekali sahaja edisi Y15ZR Movistar didatangkan dengan rim hitam iaitu pada 2017. Selain itu, pembeli GP 2018 akan mendapat cenderahati eksklusif jam tangan digital edisi khas serta replika model skala Y15ZR secara percuma.
Baru-baru ini, seorang pemilik ingin melepaskan Y suku Movistar 2018 pada harga RM11k+. Hantaran itu dikongsi pada grup Facebook OFFICIAL YAMAHA Y15ZR/Y16ZR CLUB MALAYSIA.
Menurut penjual moped berkenaan hanya merekodkan perbatuan sejauh 100km manakala selebihnya diparkir selama lima tahun.
“Y15 movistar, tahun 2017/2018..RM11xxx lego…area KL,” tulisnya.
Untuk makluman anda, Y15ZR Movistar (2018) dijual pada harga cadangan RM8,588. Bagaimanapun, perkongsian itu mendapat kecaman dalam kalangan netizen yang menganggap harga jualan tersebut tidak masuk akal.
Ada yang meminta penjual menyimpan motosikal berkenaan lebih lama sekiranya ingin melepaskan pada harga yang tinggi.
“Peram lagi bang. Tak cukup tempoh lagi,” tulis Abdul Hannan Mohamed.
“2023 payah nak laku bang dengan harga cmtu..abang simpan 30 tahun lagi mungkin ramai org cari..time tu baru boleh up harga bang..jangan marah sekadar bagi pendapat,” kongsi Iwan Iwan.
Menerusi imej yang dikongsi boleh dilihat badan moped tersebut dipenuhi dengan habuk.
Yamaha Y15ZR dilengkapi dengan enjin 150cc empat lejang, satu silinder dengan empat injap serta sistem suntikan bahan api yang menghasilkan kuasa sebanyak 15.1hp @ 8,500rpm dan tork 13.8Nm @ 7,000 rpm.