Volkswagen Arteon R-Line 4MOTION dipertingkatkan teknologi IQ.DRIVE, harga bermula RM299K

666

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Arteon R-Line 4MOTION yang dipertingkatkan dan kini dilengkapi teknologi IQ.DRIVE. 

Dengan harga cadangan RM299,990, ciri-ciri baharu IQ.DRIVE merangkumi Bantuan Hadapan (Front Assist) dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) untuk menawarkan pemanduan yang lebih selesa dan selamat.

Dari segi rekaan luaran, ia dilengkapi lampu utama dengan ciri Lampu Membelok Dinamik (Dynamic Cornering Lights), manakala lampu belakang LED 3D hadir dengan lampu membelok sequential. 



Arteon didatangkan dengan ciri All Weather Light untuk memberikan iluminasi lebih luas bagi meningkatkan pandangan sewaktu cuaca buruk dan gelap. 

Sistem Audio Harman Kardon

Ruang dalaman Arteon yang luas cukup elegan dan sporty, disempurnakan lagi dengan kemasan perak R-Line dan stereng baharu. 

Ciri-ciri untuk pemandu juga lebih inovatif, intuitif dan boleh diubah suai. Semua maklumat boleh diakses dengan mudah menerusi sistem Digital Cockpit dan infohibur Discover Pro yang menampilkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Sistem audio premium Harman Kardon 700-watt melengkapkan lagi ruang dalaman yang mewah itu. 12 unit pembesar suara menawarkan akustik yang terbaik dan lebih segar.  Ia juga hadir dengan port pengecasan tanpa wayar. 

Di belakang stereng terdapat paparan Digital Cockpit beresolusi tinggi bersaiz 11.7 inci yang memaparlam pelbagai maklumat penting jika diperlukan.

Rekaan hatch belakang yang boleh dibuka luas menawarkan ruang sebesar 563 liter di ruang but belakang menjadi yang terbaik dalam kelasnya.

Sebagai tambahan, ciri Easy Open dan Easy Close menawarkan bukaan dan penutupan but secara bebas tangan, sekali gus memberikan kemudahan untuk pemandu mengeluarkan barangan menggunakan kedua-dua belah tangan dengan mudah. 

Enjin menyalurkan 280PS

Di bawah hud terletak enjin turbo 2.0L TSI yang mampu menjana kuasa 280PS dan tork 350Nm. Dipadankan dengan kotak gear klac basah tujuh kelajuan DSG direct shift, fastback itu boleh memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Ia juga menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4L/100km.

Pemandu juga boleh mengubahsuai pemanduan mereka dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) sehingga 15 tetapan tertentu dan lima mode pemanduan – Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual.

Pengendalian luar biasa disumbang oleh sistem pacuan semua roda 4MOTION yang menyalurkan kuasa ke roda belakang apabila perlu untuk memberikan cengkaman dan kawalan lebih baik di atas jalan.  

Ciri Keselamatan

Ciri keselamatannya pula, Arteon dilengkapi Bantuan Sisi (Side Assist), Rear Cross Traffic Alert dan Bantuan Lorong (Lane Assist).

Rear Cross Traffic Alert memberi amaran kepada pemandu mengenai kehadiran objek dalam sudut 180 darjah dengan jarak sehingga 50 meter dan kelajuan mencecah 12km/j ketika mengundur kenderaan. 

Sistem 360° Area View menggunakan empat unit kamera yang diletakkan di posisi stretegik untuk memaparkan pandangan 360°. Ia membolehkan pemandu melihat kawasan sekeliling untuk memarkir kenderaan dengan lebih mudah. 

Satu lagi ciri keselamatan ialah Post Collision Braking System yang mengurangkan risiko pelanggaran kali kedua selepas impak pertama; Intelligent Crash Response System (ICRS), langkah preventif ketika kemalangan dengan menyekat bekalan bahan api, membuka pintu dan menyalakan lampu amaran. Electronic Different Lock (XDS) menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer.

Warna  dan Jaminan

Tiga warna metalik ditawarkan: kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna dengen efek mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).

Untuk ketenangan minda, model berkenaan ditawarkan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here