Intro Synergy Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan elektrik (EV) Neta di Malaysia memperkenalkan Neta V pada harga RM99,800. Setakat ini, Neta V merupakan EV termurah yang ditawarkan di pasaran tempatan.
SUV kompak elektrik itu didatangkan dengan pek bateri 38.5kWh yang menghasilkan kuasa 95kW dan tork 160Nm. Pecutan 0-50kmj mampu dicapai dalam tempoh 3.9 saat dengan kelajuan maksimum 120kmj.
Jenama China itu juga menyokong dua kaedah pengecasan iaitu pantas dan biasa. Pengecasan pantas (DC) 100kW dari 30 hingga 80 peratus hanya mengambil masa 30 minit.
Manakala Pengecasan AC Type 2 (6.6kW) pula memerlukan masa sehingga lapan jam. Dengan sekali isian bateri penuh menawarkan pemanduan sejauh 380km.
Sementara itu, rekaan luaran Neta V dilengkapi dengan lampu depan jenis mentol halogen automatik serta jenis LED pada lampu brek belakang dan lampu nyala siang (DRL).
Masuk ke kabin, di tengah papan pemuka menempatkan skrin infotainmen 14.6 inci, kerusi pemandu boleh laras 4-tahap, kemasan kulit tiruan dan but bersaiz 335 liter.
Antara ciri keselamatan yang didatangkan pada SUV 5-kerusi itu adalah 2-beg udara, kawalan kruise adaptif, ABS, EBD, EPB dan EHB.
Neta V didatangkan dengan tiga pakej waranti iaitu:
- 10 tahun atau 200,000km untuk badan (mana-mana tiba dulu)
- 5 tahun atau 150,000km untuk komponen umum
- 8 tahun atau 180,000km untuk komponen voltan tinggi EV
Penghantaran Neta V dijangka suku ketiga tahun ini dan pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan di Neta Malaysia.
Seramai 100 pelanggan pertama yang menempah atas talian akan menerima pakej khas sehingga RM10,000.
Pengguna perlu membuat tempahan tersebut dalam tempoh terhad iaitu antara jam 4.15 petang (3 Mei) dan 10 malam (7 Mei).