Pembida nombor pendaftaran kenderaan berang selepas mendapati sistem bidaan dalam talian (JPJeBid) dikatakan menyekat proses tersebut tanpa alasan dan penjelasan.
Menurut laporan MalaysiaNow, difahamkan para pembida JPJeBid yang teruja menantikan siri pendaftaran huruf “FF” dari Wilayah Persekutuan Putrajaya bertukar hampa apabila nombor pendaftaran idaman mereka disekat.
Seorang peniaga nombor pendaftaran kenderaan, Wallace Choy dari syarikat Auto Plate Division berkata sekatan terhadap nombor-nombor itu dipercayai berpunca daripada pengaruh golongan “VIP” selain ketidaktelusan sistem yang digunakan untuk membida.
Katanya, boleh jadi golongan tersebut sudah membuat bayaran minima ke atas nombor-nombor tersebut hingga ia tidak dibuka kepada orang awam untuk bidaan.
Menurut Choy, ini menunjukkan seolah-olah mereka membuat bayaran minima sekali gus mendapat layanan istimewa daripada pengendali sistem tersebut.
“Kita pun tak tahu siapa yang sekat nombor-nombor ini malah nombor pendaftaran yang biasa dan bukannya istimewa seperti siri dua digit atau satu digit juga disekat untuk dibida,” katanya.
Jika keadaan ini berulang dan berterusan, kata Choy, kerajaan berisiko berdepan kekurangan hasil negara.
Menurut Choy, situasi tersebut pernah berlaku sebelum ini melibatkan siri huruf pendaftaran kenderaan daripada negeri-negeri tertentu seperti Johor (J) dan Perak (A).
Bagi siri pendaftaran “FF”, terdapat kira-kira lebih 60 nombor sudah disekat untuk dibida secara terbuka dalam JPJeBid.
Perkembangan ini menyebabkan mereka berasa ditipu dan dimanipulasi oleh sistem pembidaan dalam talian yang dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain menyukarkan perniagaan bida nombor plat kenderaan.
Sejak 2019, JPJ memperkenalkan sistem pembidaan dalam talian yang menyaksikan pengguna jalan raya terus bersaing bagi mendapatkan nombor pendaftaran kegemaran mereka.