Pemuda pukul kepala pemandu wanita direman 3-hari

502

Mahkamah Majistret hari ini membenarkan seorang suspek lelaki yang didakwa menunjukkan isyarat lucah dan memukul kepala seorang wanita berdekatan pusat peranginan Lata Iskandar, Tapah, kelmarin, direman tiga hari.

Majistret Siti Hanum Mohmad Sah membenarkan permohonan polis menahan reman lelaki berusia 29 tahun itu yang juga penyelia kilang di Serdang, Selangor bermula Rabu hingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.



Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 dan 509 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah dan perbuatan mengaibkan kehormatan.

Terdahulu tular satu video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang lelaki berbaju merah keluar daripada Proton Persona dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan sebelum memarahi pemandu wanita serta memukul kepala mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.33 petang, pemandu wanita berusia 24 tahun berkenaan dilemparkan kata-kata kesat oleh lelaki itu sebelum kepalanya dipukul.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata suspek ditahan polis di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

Siasatan lanjut dijalankan polis mendapati kejadian berlaku pada jam 5.33 petang semalam, ketika mangsa berusia 24 tahun bersama adik lelakinya yang berusia 17 tahun dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah.

“Mangsa dikatakan cuba memotong kereta suspek tetapi gagal, sebelum lelaki itu menunjukkan isyarat lucah dan memperlahankan kenderaan sehingga jalan menjadi sesak,” katanya.

Mohd Yusri berkata, hasil semakan nombor kenderaan dinaiki suspek mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Tanjong Karang, Selangor.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here