Polis laksana operasi tumpu pengguna degil dan ingkar di ibu negara

545

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan operasi terhadap pengguna jalan raya di ibu negara yang dikesan masih degil dan ingkar kepada undang-undang bermula 1 Julai hingga 31 Julai ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia susulan ramai warga kota dikesan masih alpa dan enggan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Gambar hiasan

“Perkara ini (langgar peraturan jalan raya) dilihat agak kecil, tetapi dari sudut kesejahteraan (awam)… impaknya besar kepada masyarakat.



“Kami bertekad memastikan pemandu di Kuala Lumpur tahu undang-undang masih wujud. Tidak boleh memandu sesuka hati langgar lampu isyarat… faham semua nak cepat,” katanya.

Penguatkuasaan akan dijalankan dan tindakan saman akan dikeluarkan serta-merta kepada mana-mana pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki yang ingkar peraturan trafik.

“Sebelum ini kita buat (operasi) di Bangsar dan agak mengecewakan apabila didapati kereta mewah (juga) diletakkan di tepi jalan.

“Sedangkan mereka mampu untuk bayar parkir, inilah mentaliti (masyarakat) kita,” katanya.

Katanya, Polis Kuala Lumpur bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan bekerjasama menjalankan operasi bersepadu sepanjang tempoh itu.

Mohd Shuhaily berkata, konsep penguatkuasaan lebih tegas dan tersusun dijalankan membabitkan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

“Dengan JPJ, kita ada beberapa perkara fokuskan termasuk pemandu warga asing yang betul-betul mencabar kewibawaan kita apabila mereka memandu tanpa dokumen sepatutnya.

“Undang-undang perlu diperketatkan, budaya itu (tak patuh undang-undang) membuatkan warga asing melanggar peraturan sebab warga kota tidak patuh jadi pendatang asing pun terikut-ikut,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 895 kertas siasatan trafik dibuka bagi tempoh Januari hingga Mei lalu dengan kesalahan tertinggi adalah halangan iaitu meletakkan kenderaan di kawasan dilarang atau menghalang lalu lintas dengan 311 kes; diikuti lumba haram (180 kes) dan langgar lampu merah (167 kes).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here