Pandu lawan arus dan melarikan diri sejauh 10km, polis tahan remaja 13 tahun

396

Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun kerana memandu secara merbahaya dan tanpa lesen di Taman Banggol Indah, Chukai, Kemaman pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata remaja itu ditahan kira-kira jam 5.15 petang selepas didapati memandu kenderaan secara melawan arus.

Kredit Foto: Berita Harian

Tindakan itu disedari anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman ketika menjalankan Op Lancar/Op Samseng Jalanan di sekitar kawasan itu pada jam 4 petang.



“Polis mengesan suspek yang memandu Proton Saga berwarna putih melawan arus ketika melalui Jalan Bawah Jambatan Geliga (Waterfront).

“Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu namun pemandunya tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri.

“Polis terus mengekori dan mengarahkan supaya kereta itu berhenti sebanyak tiga kali namun masih tidak diendahkan,” katanya.

Polis mengekori suspek sejauh 10km sebelum remaja menghentikan kereta di sebuah kedai dobi layan diri lalu bertindak melarikan diri bersama empat penumpang lain. 

“Suspek bersama empat rakan berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun berjaya ditahan dan dibawa ke BSPT Kemaman untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. 

Hanyan berkata, pihak polis akan mereman suspek pada Jumaat untuk diambil keterangan manakala penumpang lain dibebaskan.

Ibu suspek yang juga pemilik kereta akan dipanggil untuk diambil keterangan dan berdepan saman kerana membenarkan orang yang tiada lesen memandu kenderaan.

Kesalahan yang dilakukan oleh suspek adalah memandu secara zigzag di jalan persekutuan bermula dari KM155 hingga KM157, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan tidak berhenti di lampu isyarat Mak Lagam.

“Kereta itu juga telah memotong secara bahaya dan potong Q (potong barisan) di lampu isyarat Stesen Bas Geliga,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here