Aapico melabur RM140 juta bagi mengeluarkan komponen kenderaan bersama PROTON

293

Pengeluar kereta nasional PROTON bekerjasama dengan AAPICO Hitech Public Company Limited (Aapico) menerusi subsidiarinya, Advance Vehicle Engineering Global Sdn Bhd (AVEE Global), untuk mengeluarkan komponen dan alat ganti seperti dies, jig, hot stamping, badan kenderaan dan casis. 

Kerjasama itu menyaksikan Aapico memegang sebanyak 60 peratus AVEE Global daripada PROTON manakala 40 peratus dimiliki PROTON dalam syarikat yang akan dinamakan semula sebagai Aapico Avee Sdn. Bhd. 

Perkongsian berkenaan dirasmikan pada 26 Jun 2023, akan menyaksikan Aapico, sebuah syarikat alat ganti kenderaan terbesar di Thailand, melaksanakan pelaburan awal sebanyak RM40 juta ke atas kemudahan seluas 20 ekar AVEE Global. 



Ia disusuli dengan perancangan untuk meluaskan lagi usaha sama berkenaan bagi memenuhi permintaan terhadap kenderaan PROTON dan keseluruhan sektor automotif yang semakin meningkat. Ia membabitkan pelaburan sebanyak RM100 juta dalam perancangan 2024 dari segi peluasan kilang dan pemerolehan jentera baharu. 

Dengan pengalaman dan kepakaran luasnya, Aapico akan menguruskan operasi dan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu untuk mengeluarkan alat ganti yang lebih berkualiti, menambah baik pengeluaran dan menjimatkan kos.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Aapico Hitech Public Company Limited, Yeap Swee Chuan, berkata, Aapico mengambil peluang untuk menyertai sektor pembuatan alat ganti di Malaysia pada masa yang tepat, dengan perkembangan yang baik dijangka dalam industri automotif, diterajui oleh permintaan yang kukuh untuk kenderaan PROTON dan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mantap. 

“Kami berhasrat untuk membawakan kepakaran dan teknologi pembuatan dalam usaha sama ini dan menyediakan alat ganti bertaraf dunia kepada PROTON dan menyokong pelan perkembangan mereka di pasaran tempatan dan eksport,” katanya.

Bagi PROTON, usaha sama berkenaan mengukuhkan lagi cita-cita syarikat untuk menjadi pemain utama dalam pasaran automotif ASEAN. Dengan memanfaatkan skala ekonomi dan inisiatif pelaburan Aapico serta gabungan teknologi sedia ada PROTON dalam bidang seperti hot press forming, syarikat berkenaan berharap untuk berada di barisan hadapan dalam rantau automotif yang paling pesat berkembang di dunia. 

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, usaha sama dengan Aapico akan memberi manfaat kepada PROTON dengan membantu syarikat dari segi pengoptimuman kos, kecekapan dan kualiti yang lebih baik dalam pengeluaran kereta nasional.

“Memandangkan jumlah pengeluaran kami meningkat seiring dengan pelan perancangan model, kami akan terus berusaha untuk memastikan produk kami setanding dengan pesaing dari segi ciri-ciri serta kualiti dan pada masa yang sama, terus menawarkan jaminan keselamatan yang cemerlang daripada penggunaan teknologi seperti hot press forming,” katanya.

Majlis berkenaan dimeriahkan oleh tetamu kehormat, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, yang menyaksikan pengumuman usaha sama berkenaan oleh Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah. 

Perkongsian strategik Aapico-PROTON adalah usaha sama kedua Aapico dalam sektor alat ganti kenderaan di Malaysia. Pada awal tahun ini, syarikat Thailand berkenaan menandatangani perjanjian usaha sama dengan Purem, pembekal sistem ekzos terbesar di dunia. 

Dengan pelaburan awal sebanyak RM30 juta, Aapico memegang 49 peratus pemilikan manakala Purem pula sebanyak 51 peratus daripada Purem Aapico Sdn Bhd, yang akan mengeluarkan sistem ekzos dan mula membekalkannya kepada PROTON dalam suku ketiga tahun ini. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here