Baru-baru ini, tular di TikTok apabila peminat Barbie di Malaysia sanggup beratur seawal pagi bagi mendapatkan barangan Typo x Barbie.
Buat peminat anak patung fesyen itu, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk membeli SUV ini yang dihasilkan sempena tayangan perdana filem Barbie.
Penjual kenderaan terpakai, Bayshore Automotive menghasilkan Ford Bronco Barbie menggunakan warna signatur anak patung itu.
Bahagian bumbung Ford Bronco kemasan Black Diamond tersebut boleh dibuka bagi menikmati angin luar mahupun ketika meredah laluan off road.
Digelar sebagai Barbie Dream Bronco, odometer SUV itu hanya 386km. Warna badan merah jambu kusam dipadankan dengan bumbung, gril, bampar dan rim berwarna putih.
Cangkuk tunda dan lencana Bronco turut diwarnakan merah jambu termasuklah set lampu utama sesuai dengan penampilan Barbie.
Kit naiktaraf lain adalah kit tayar Nit Ridge Grappler 37-inci. Selain itu, kabin dipadankan dengan kerusi upholsteri putih bersama jahitan merah jambu sebagai kontra.
Bagaimanapun, pemilihan warna putih tersebut tidak sesuai untuk kegunaan off road.
Ford Bronco menggunakan enjin 2.7 liter V6 yang menghasilkan kuasa 310hp dan mendapat waranti kilang penuh. Harga Ford Bronco Barbie USD 89,890 (RM419,516).