Minggu lalu, Chery Tiggo 8 Pro rasmi dilancarkan ke pasaran tempatan pada harga RM159,800 seunit.
Sebagai perbandingan, harga pesaing terdekatnya Proton X90 Flagship (RM152,800) lebih murah RM7,000.
Bagi mendapatkan kembali keyakinan pelanggan, Chery Malaysia perlu mengatur strategi pemasaran dań menawarkan pakej peralatan lebih atas berbanding pesaingnya.
Salah satunya, jenama asal China itu menawarkan jaminan pengeluar standard 7-tahun atau 150,000km; 5-tahun atau enam kali caj buruh percuma dan waranti enjin 10 tahun atau 1 juta kilometer perbatuan.
Bagaimanapun, tawaran waranti enjin tersebut hanya terhad kepada 3,000 pengguna terawal.
SELANG SERVIS
Sekiranya anda berminat untuk memiliki jenama Chery tersebut, berapa kos penyelenggaraan Tiggo 8 Pro yang perlu dikeluarkan setiap tahun?.
Servis pertama 1,000km Tiggo 8 Pro adalah percuma dan diikuti selang servis setiap 10,000km.
Di bawah ini kos penyelenggaraan yang kami peroleh daripada Chery Malaysia:
1. Servis 10,000km (RM505.50)
Apabila perbatuan mencapai 10,000km, pemilik perlu mengeluarkan wang sebanyak RM505.50 yang melibatkan penggantian:
- Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM250
- Penapis minyak hitam: RM51
- Pencuci minyak enjin: RM1.50
- Penapis udara enjin: RM93.75
- Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
- Caj buruh: RM100
Sekiranya pemilik memilih servis komponen wajib, hanya perlu membayar RM402.50. Kos sama perlu dikeluarkan apabila mencapai perbatuan 70,000km.
2. Servis 20,000km (RM547.15)
Sebagai persediaan, sebelum perbatuan mencapai 20,000km ataupun setahun pemilikan, anda perlu menyediakan wang sebanyak RM547.15 yang melibatkan pertukaran:
- Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM250
- Penapis minyak hitam: RM51
- Pencuci minyak enjin: RM1.50
- Ganti wiper: RM95.70 (cadangan)
- Penapis udara: RM48.95
- Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
- Caj buruh: FOC
Namun, jika pemilik hanya melakukan servis komponen wajib tidak termasuk servis cadangan, kos yang perlu dibayar adalah RM351.45.
3. Servis 30,000km (RM962.25)
Apabila mencapai perbatuan 30,000km, kos yang perlu dikeluarkan oleh pemilik adalah RM962.25 yang melibatkan pertukaran:
- Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM250
- Penapis minyak hitam: RM51
- Pencuci minyak enjin: RM1.50
- Selenggara aircon (cuci & tambah gas): RM100 (cadangan)
- Penapis aircon: RM76.15 (cadangan)
- Palam pencucuh: RM233.60
- Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
- Caj buruh: RM150
Sekiranya pemilik hanya melakukan servis komponen wajib, kos yang perlu dibayar adalah RM686.10. Kos sama perlu dikeluarkan apabila mencapai perbatuan 90,000km.
4. Servis 40,000km (RM597.15)
Apabila mencapai servis 40,000km iaitu dua tahun pemilikan, kos akan meningkat menjadi RM597.15. Servis itu melibatkan pertukaran:
- Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM250
- Penapis minyak hitam: RM51
- Pencuci minyak enjin: RM1.50
- Ganti wiper: RM95.70 (cadangan)
- Minyak brek 500ml: RM50
- Penapis udara: RM48.95
- Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
- Caj buruh: FOC
Bagaimanapun, kos servis komponen wajib hanyalah RM401.45. Kos sama perlu dikeluarkan apabila mencapai perbatuan 80,000km.
5. Servis 50,000km (RM872.50)
Apabila mencapai servis 50,000km, kos akan meningkat menjadi RM872.50. Servis melibatkan pertukaran:
- Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM250
- Penapis minyak hitam: RM51
- Pencuci minyak enjin: RM1.50
- Minyak transmisi 4L: RM320
- Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
- Caj buruh: RM150
Kos servis komponen wajib adalah RM772.50. Kos sama perlu dikeluarkan apabila mencapai perbatuan 80,000km.
6. Servis 60,000km (RM956.90)
Apabila mencapai servis 60,000km, kos selang servis adalah RM956.90. Servis melibatkan pertukaran:
- Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM250
- Penapis minyak hitam: RM51
- Pencuci minyak enjin: RM1.50
- Ganti wiper: RM95.70 (cadangan)
- Penapis udara: RM48.95
- Selenggara aircon (cuci & tambah gas): RM100 (cadangan)
- Penapis aircon: RM76.15 (cadangan)
- Palam pencucuh: RM233.60
- Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
- Caj buruh: FOC
Bagaimanapun, kos servis wajib hanyalah RM585.05.
7. Servis 100,000km (RM867.15)
Apabila mencapai servis 100,000km iaitu 5-tahun pemilikan, kos yang perlu dibayar adalah RM867.15. Servis itu melibatkan penyelenggaraan komponen:
- Minyak enjin sintetik penuh SP 5W30 4.7 liter: RM250
- Penapis minyak hitam: RM51
- Pencuci minyak enjin: RM1.50
- Minyak transmisi 4L: RM320
- Ganti wiper: RM95.70 (cadangan)
- Penapis udara: RM48.95
- Penjajaran dan imbangan : RM100 (cadangan)
- Caj buruh: FOC
Sekiranya pemilik memilih servis komponen wajib, hanya perlu membayar RM671.45.
Dalam tempoh lima-tahun pemilikan Tiggo 8 Pro, kos selang servis adalah RM5,360.55 (kiraan kos komponen wajib). Sebagai perbandingan 5-tahun penyelenggaraan Proton X90 adalah sekitar RM5,514.87.