Penat kena kejar hingga 10km, warga emas seludup diesel akhirnya serah diri

362

Lelaki warga emas yang disyaki penyeludup akhirnya menyerah diri selepas ‘penat’ memecut kereta ketika dikejar pihak berkuasa.

Pada kejadian jam 10 pagi semalam, warga emas berusia 69 tahun itu ditahan di Jalan Wakaf Bharu,Tumpat selepas melarikan diri kira-kira 10km sebaik menyedari pacuan empat roda dipandunya diekori.



Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan Azman Ismail berkata, pihaknya mengesan kenderaan yang dipandu suspek berlegar-legar sekitar Kota Bharu dan membuat pengisian diesel secara berulang di beberapa stesen minyak.

“Kami terus mengekorinya dan sebaik menyedari diekori, pemandu pacuan empat roda berpendaftaran asing itu memecut menghala ke Tumpat.

“Pemandu itu akhirnya memberhentikan kenderaannya selepas penat diekori sejauh 10km.

“Pemeriksaan menemukan 300 liter diesel dalam tangki tambahan disyaki ubahsuai bernilai RM70,645,” katanya.

Pada kejadian berasingan, sebuah Proton Iswara Aeroback yang disyaki membawa diesel seludup terbabas sebelum memasuki tali air.

Azman berkata, kejadian berlaku di Jalan Bendang Kok Pasir di sini, jam 1 tengah hari kelmarin, apabila pemandunya cuba melarikan diri sebaik diekori pihaknya.

“Terdahulu, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di jalan raya sekitar Tumpat sebelum pasukan kami mengekorinya.

“Sebaik menyedari kehadiran kami, suspek memecut namun kereta itu terbabas ke dalam tali air sebaik tiba di Kampung Kok Pasir.

“Suspek dapat melarikan diri dan pemeriksaan menemukan 50 liter petrol dalam tangki tambahan yang diubahsuai bernilai RM7,102.50,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here