Utama Berita Automotif Cawangan JPJ diarah turun notis tiada cukai jalan fizikal

Cawangan JPJ diarah turun notis tiada cukai jalan fizikal

410
Beberapa cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah menurunkan notis yang mengatakan jabatan itu tidak mengeluarkan cukai jalan kenderaan persendirian secara fizikal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
 
Beliau berkata arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPJ, Rospiagos Taha kepada cawangan jabatan berkaitan yang mana cukai jalan fizikal tidak akan dikeluarkan bermula 1 Ogos 2023 dan memohon pelanggan memperbaharui menerusi aplikasi MyJPJ.
 
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook
“Stiker (cukai jalan fizikal) masih dikeluarkan, cuma ada beberapa cawangan kehabisan stok jadi mereka letak notis tiada lagi cukai jalan fizikal tapi itu bukan keputusan dasar.
 
“Jadi kita ambil langkah cepat, apabila kita tahu cawangan itu habis stok, kita akan teruskan tempahan stok,” katanya.
 
Tambahnya, Kementerian Pengangkutan belum lagi menetapkan tarikh mutlak bagi transisi cukai jalan fizikal kepada digital sepenuhnya, malah rakyat masih diberi pilihan untuk menggunakan cukai jalan secara fizikal.
 
“Sementara ini kita akan bagi lagi, tapi akan sampai masa kita kata semuanya akan ditukar kepada digital sepenuhnya, namun keputusan ini belum dibuat, ia akan mengambil tempoh enam bulan hingga setahun sebelum dapat bertukar sepenuhnya kepada digital,” katanya.
 
Setakta ini, hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang memilih menggunakan cukai jalan secara digital menerusi aplikasi MyJPJ.
 
Loke sebelum ini mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tempatan tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing bermula 10 Februari lalu, sebaliknya boleh menggunakan mod paparan digital.
 
Katanya langkah pendigitalan JPJ itu mampu mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ sehingga 80 peratus, dengan setiap bulan secara purata 1.5 juta kenderaan perlu memperbaharui lesen kenderaan motor, dan membawa penjimatan RM96 juta setahun dari segi kos pelekat dan kad.


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here