Selepas Honda Jazz dan BR-V, model sedan segmen-D Honda Accord bakal dihentikan jualan di Malaysia.
Pengumuman itu dibuat Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura ketika majlis pelancaran Honda City facelift semalam.
Difahamkan, keputusan berkenaan diambil susulan jualan yang rendah dan pasaran segmen-D yang semakin mengecil serta permintaan SUV yang meningkat dalam kalangan pengguna.
Di samping itu, permintaan yang tinggi bagi sedan segmen-C dan B membuatkan Honda Accord meninggalkan pasaran tempatan seperti mana Nissan Teana yang terlebih dahulu angkat kaki sekitar 2019.
Ini dikukuhkan lagi menerusi prestasi jualan Honda Malaysia tahun lalu yang mana Honda City merekodkan jualan tertinggi sebanyak 36 peratus.
City Hatchback dan HR-V adalah antara tiga model menerima permintaan memberangsangkan dengan masing-masing mencatatkan 20 peratus dan 14 peratus daripada jumlah jualan tahun lalu.
Menerusi pengumuman berkenaan, Honda Accord generasi ke-10 yang diperkenalkan pada tahun 2020 menjadi model terakhir yang dijual di Malaysia.
Bagaimanapun, pasaran antarabangsa sudahpun memperkenalkan Honda Accord generasi ke-11 menerusi dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter turbo dan 2.0 liter hibrid.