Semalam, Neymar mengesahkan menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal dari Paris Saint-Germain (PSG) dengan kontrak dua tahun menyertai Cristiano Ronaldo.
Penyerang Brazil berusia 31 tahun itu menamatkan enam tahun penampilan di ibu negara Perancis beralih ke Timur Tengah.
Bintang Brazil itu bakal memperoleh pendapatan yang besar iaitu GBP2.5 juta (RM14.7 juta) seminggu.
Bagaimanapun, persetujuan berkenaan didatangkan dengan permintaan super mewah yang mana menurut SunSport bintang bola sepak itu meminta empat buah Mercedes G Wagon dan van Mercedes dengan pemandu.
Neymar juga meminta pemandu itu siap siaga setiap hari, sepanjang masa dan tahun untuk dirinya, rakan dan keluarga.
Kereta mewah lain yang diminta termasuklah Bentley Continental GP, Aston Martin DBX dan Lamborghini Huracan dengan kos keseluruhan dianggarkan GBP510,000 (RM3.01 juta).
Di rumah, Neymar meminta peti sejuknya diisi sepanjang masa dengan jus Açaí iaitu jenama kegemarannya dan minuman Guarana untuk rakan dan keluarganya.
Neymar menyertai PSG dari Barcelona pada tahun 2017 dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.12 bilion), beberapa minggu sebelum mereka mengikat Kylian Mbappe.
Pemain Brazil itu menjaringkan 118 gol dalam 173 perlawanan buat PSG, memenangi lima kejuaraan Ligue 1 dan tiga Piala Perancis namun masanya di PSG dibelenggu dengan beberapa siri kecederaan.