Tindakan remaja berusia 17 tahun menggunakan nombor pendaftaran motosikal ‘Nasty Port Flow’ membawa padah apabila ditahan dalam Operasi Motosikal di sekitar ibu kota yang bermula pada 17 hingga 19 Ogos lalu.
Antara alasan yang diberikan remaja lelaki tersebut adalah sekadar suka-suka dan untuk mengaburkan mata pihak berkuasa jika dikejar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dengan kekuatan 173 pegawai dan anggota dilakukan di Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Kuantan, Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee.
“Seorang remaja lelaki ditahan menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dengan mempamerkan nombor pendaftaran ‘Nasty Port Flow’ manakala bahagian belakang motosikal pamer nombor asal tetapi tidak lengkap.
“Dia mendakwa berbuat demikian sekadar suka-suka selain mahu mengaburi mata pihak berkuasa jika dikejar.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Dalam operasi yang sama juga, Sarifudin memaklumkan sebanyak 115 motosikal disita dan disaman atas pelabagai kesalahan dengan kerjasama kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, motosikal disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JAS serta diarahkan mengubah ke struktur asal.