Cadangan membenarkan pemegang lesen motosikal Kelas B2 dinaik taraf kepada B secara automatik perlu diteliti kerana boleh menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara.
Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar berkata langkah itu boleh menyebabkan sistem pengambilan lesen kenderaan di negara ini dilihat mundur kerana ia melibatkan kompetensi seseorang penunggang.
“Saya mohon kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghormati kompetensi seseorang bagi melayakkan dia memandu sesuatu kelas kenderaan di Malaysia.
“Apabila bercakap mengenai kompetensi, ia bertentangan dengan pengalaman kerana pengalaman itu bersifat subjektif, mungkin dia ada lesen B2 tetapi dia tidak pernah menunggang (motosikal berkuasa tinggi), mungkin ada lesen B2 tetapi penunggang itu terdedah kepada kemalangan. Ini membabitkan soal nyawa,” katanya.
Mat Aris berkata, setakat ini belum ada mana-mana negara memberi kemudahan menaiktaraf kelas lesen memandu secara automatik.
“Kerajaan harus menghormati dan memahami, kita bukan memandu di Malaysia sahaja, ada dalam kalangan pemandu dan penunggang tempatan yang pergi ke luar negara.
“Jadi dalam keadaan kita nak memartabatkan kurikulum (kelas memandu) dan kompetensi (pemandu serta penunggang) supaya lesen memandu Malaysia diiktiraf dan kalau cadangan ini dibuat secara terburu-buru, saya bimbang lesen memandu Malaysia mungkin tidak diiktiraf di negara luar,” katanya.
KUASA MOTOR KECIL DAN BESAR BERBEZA
Sementara itu, pakar pengangkutan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana kemahiran membawa motosikal berkuasa rendah dan berkuasa tinggi adalah berbeza.
Katanya, menunggang motosikal berkuasa besar memerlukan kemahiran yang perlu dipelajari.
“Saya tidak sokong kerana mereka yang ingin menunggang motosikal berkuasa tinggi memerlukan pengalaman yang mencukupi, matang dan perlu mempelajari cara menunggang kenderaan terbabit dengan lebih cermat.
“Sepatutnya, mereka yang ingin mendapatkan lesen Kelas B ini harus mengikuti latihan dan lulus ujian yang dipraktikkan ketika ini. Jadi saya tidak melihat apa faedah jika lesen memandu Kelas B2 ini dinaik taraf kepada Kelas B secara automatik,” katanya.
Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan menaiktaraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B, secara automatik akan dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk diteliti terlebih dahulu.