Smart #3 tiba di pasaran Eropah menerusi pilihan versi Ulang Tahun ke-25

497

SUV coupe elektrik Smart #3 baru saja melakukan debut pada IAA Mobility Show selepas diperkenalkan pada Shanghai Auto, April lalu.

Dengan panjang 4,440mm, Smart #3 diposisikan dalam segmen SUV kompak di atas Smart #1 yang mana 170mm lebih pendek. 



Spesifikasi Eropah itu sama seperti yang ditawarkan di China tetapi dengan penambahan Edisi Ulang Tahun ke-25.

Edisi tersebut meraikan kemunculan pertama Smart yang asal sejak 25 tahun lalu.  Ia tersedia secara eksklusif menerusi warna badan putih dengan aksen jingga, rim aloi hitam bersaiz 19-inci dan lencana khas.

Di bahagian dalam, ia menampilkan peralatan mewah termasuk skrin infotainmen 12.8 inci, kluster instrumen digital 9.2 inci, paparan head up 10 inci, kerusi kemasan kulit upholsteri berwarna hitam dan putih, bumbung panorama galaksi dengan gabungan LED, dan 13 pembesar suara daripada Beats.

Smart #3 Pro+, Premium dan Ulang Tahun ke-25 didatangkan dengan motor elektrik tunggal di belakang yang menghasilkan kuasa 268hp.

Sementara, versi prestasi Brabus menerima dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa 422hp. Model pacuan roda belakang (RWD) mampu memecut 0-100kmj dalam tempoh 5.8 saat manakala pacuan semua roda (AWD) pula 3.7 saat.

Kesemua varian Smart #3 didatangkan dengan bateri manganese kobalt litium nikel 66 kWj. Ia mampu menawarkan pemanduan sejauh 415km hingga 455km bergantung pada varian dan jenis pengecasan.

Untuk makluman, kedua-dua Smart #1 dan #3 adalah berdasarkan Seni Bina Pengalaman Lestari Geely yang turut menyokong Volvo EX30 dan Zeekr X.

Smart #3 bakal dipasarkan di Jerman penghujung 2023 manakala pasaran Eropah yang lain akan menyusul awal 2024.

Berikut harga Smart #3:

  • Pro+ : €43,490 (RM218,608)
  • Premium : €46,490 (RM233,688)
  • Ulang Tahun ke-25: €46,990 (RM236,201)
  • Brabus: €50,990 (RM256,308)
 
 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here