EMOS rasmi melancarkan Kawasaki ZX-25R SE ke pasaran Malaysia menerusi harga RM33,900 seunit.
Seperti mana dimaklumkan sebelum ini, enjin ZX-25R versi tempatan berkongsi janakuasa yang sama di pasaran Thailand.
Ia menghasilkan kuasa 46hp @ 15,500rpm dan 22Nm @ 12,500rpm bersama transmisi 6-kelajuan automatik dengan bantuan klac dan slipper.
Sementara, pasaran Indonesia pula memiliki output lebih tinggi menerusi enjin 249.8cc penyejukan cecair inline four yang menghasilkan kuasa 51hp @ 15,500 rpm dan tork maksimum 22.9Nm @ 14,500 rpm.
Sportbike 4-dapur itu didatangkan dengan suspensi Showa SFF-BP boleh laras dengan spring pra beban dan spring top out (depan) dan horizontal back-link, tabung gas dengan spring pra beban boleh laras (belakang).
Menariknya, di pasaran luar suspensi Showa tersebut hanya ditawarkan pada versi Kawasaki ZX-25RR.
Manakala, keupayaan menghentikan jentera dibantu oleh sistem brek cakera radial tunggal semi-terapung 310mm, monoblok,4 piston (depan) dan cakera tunggal 220mm (belakang).
Penampilan sporty ZX-25R SE diserlahkan menerusi sistem pencahayaan LED pada lampu depan dan belakang. Manakala pada hendal tengah tersedia skrin TFT 4.3-inci berwarna yang memaparkan pelbagai informasi jentera.
Ciri peralatan standard lain yang ditawarkan pada ZX-25R antaranya Power Mod Selection, Kawasaki Traction Control (KTRC) dan Kawasaki Quick Shifter (QS) serta Electronic Throttle Valves.
Signatur model Ninja ZX boleh dilihat pada Sistem Ram Air di bahagian tengah dipengaruhi rekaan Ninja H2.