Ducati Malaysia melancarkan tiga model untuk pasaran tempatan membabitkan Diavel V4, Panigale V4 SP2 dan Streetfighter V4 yang diberi penambahbaikan.
Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael, berkata, pihaknya sangat gembira untuk memperkenalkan Diavel V4, Panigale V4 SP2, dan Streetfighter V4 untuk pasaran negara ini.
“Diavel V4 adalah tafsiran baru kami tentang motosikal jarak jauh yang mahu menikmati jalan-jalan luas dan terbuka yang ditawarkan di Malaysia.
“Panigale V4 SP2 adalah untuk mereka yang suka menunggang di litar atau mahu jentera koleksi, manakala Streetfighter V4 sesuai untuk mereka mahukan tunggangan yang sensasi,” katanya.
Ducati Diavel V4
Menampilkan ciri teknikal, dinamik dan gaya jauh berbeza berbanding generasi sebelum ini dengan bercirikan motosikal sport naked serta muscle cruisers.
Ia menggunakan enjin V4 Granturismo bersesaran 1,158cc yang memberikan prestasi, watak, dan gaya yang luar biasa.
Mampu menjanakan 168bhp dan paling bagusnya pemiliknya hanya melakukan penyelenggaran injap utama 60,000km.
Memiliki tangki minyak 20 liter, selain hadir dengan padanan ciri unik pada bahagian lampu siang LED dan rekaan lampu belakang LED Matrix untuk menambahkan daya tarikan.
Ia kini lebih ringan 13 kg berbanding Diavel 1260 S dengan padanan rangka aluminium monokok dan enjin baru.
Selain itu, Ducati Diavel V4 ini memiliki empat mod menunggang, Cornering ABS, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control dan Ducati Quick Shift.
Panigale V4 SP2
Panigale V4 SP2 direka khusus untuk jentera tunggangan di litar, tetapi pada masa sama boleh ditunggang di jalan raya biasa. Ia menawarkan pengalaman yang mengujakan dan boleh diakses untuk semua peringkat kemahiran penunggangnya.
Ciri utama Panigale V4 SP2 menggunakan livery “Ujian Musim Sejuk” dengan campuran hitam matte dan aksen karbon, bersama kemasan merah cerah serta sayap tepi bercorak bendera Itali.
Uniknya lagi, ia didatangkan nombor siri yang diukir laser pada batang ster aluminium. Dipadankan enjin 1,103cc Desmosedici Stradale V4 dengan menyalurkan kuasa maksimum sehingga 215.5 hp pada 13,000 rpm.
Selain itu, ciri standard yang ada pada model berkenaan adalah fork Öhlins NPX25/30 yang dikawal secara elektronik, manakala suspensi belakang TTX36 Öhlins Smart EC 2.0 untuk pengendalian dan kestabilan yang luar biasa.
Dilengkapi juga dengan roda magnesium Marchesini yang ringan, selain klac kering STM EVO dan menggunakan pam brek Brembo MCS.
Streetfighter V4
Streetfighter V4 adalah motosikal segmen super sports naked, jelmaan daripada model Panigale V4 tanpa fairing, batang hendal tinggi dan lebar dengan berat basah 201.5 kg.
Dijanakan enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale yang menyalurkan 208 hp dan juga dilengkapi pakej elektronik generasi terkini. Ia masih mengekalkan tork setinggi 123Nm pada 9,500 rpm.
Ciri utamanya, ia kini ditawarkan empat mod enjin membabitkan Full, High, Medium dan Low. Setiap mod dikalibrasikan dengan teliti untuk sepadan watak enjin Desmosedici Stradale untuk pengalaman tunggangan yang luar biasa.
Hadir reka bentuk moden dengan konfigurasi tempat duduk tunggal dan tangki direka semula berkapasiti 16.5 liter.
Hadir paparan TFT 5 inci sama seperti Panigale V4 termasuk tachometer bulat maya dan grafik yang direka semula untuk kemudahan bacaan lebih baik. Bagi tunggangan di litar, mod paparan Track Evo juga tersedia.
Harganya pula
- Ducati Diavel V4 dijual RM178,900 untuk warna merah, manakala Thrilling Black bermula RM181,900.
- Ducati Panigale V4 SP2 dijual bermula RM299,900.
- Ducati Streetfighter V4 bermula RM141,900.