Seorang pesara di Kampung Bechah Palas menghimpunkan koleksi antik yang dimiliki lebih 40 tahun lalu.
Warga emas itu menghimpunkan barangan koleksinya di beberapa ruang termasuklah halaman rumah.
Alias Sulaiman, 67, kini memiliki lebih 1,000 koleksi peribadi pelbagai jenis barangan terdiri daripada motosikal, kereta, tembaga dan peralatan rumah.
Kebanyakan koleksi miliknya berusia lebih 50 tahun dan ada yang masih berfungsi dengan baik walaupun sukar mencari alat ganti.
Menurut Alias, minatnya membolehkan dia mengumpul lebih 20 basikal yang kebanyakannya dibeli dari England termasuk jenama terkenal seperti BSA, Robinhood dan Raleigh.
“Saya juga menyimpan lebih 10 motosikal klasik dari tahun 1920-an yang masih boleh digunakan,” katanya.
KOLEKSI PALING LAMA BERUSIA 100 TAHUN
Bagaimanapun, datuk kepada dua cucu itu berkongsi koleksi paling lama disimpan adalah baldi dan pelita berusia lebih 100 tahun milik arwah nenek kepada isterinya.
Bapa kepada tiga anak berusia antara 34 hingga 40 tahun itu juga mengakui kesemua koleksi itu disayangi dan tidak mahu menjualnya walaupun ramai yang berminat dan menetapkan harga.
“Barang saya tiada ‘nilai’ kerana ia bukan sahaja eksklusif untuk diri sendiri malah menjadi satu nostalgia untuk dikenang sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja.
“Ada juga yang mahu meminjamnya untuk kenduri tetapi saya menolak kerana pernah kehilangan koleksi kesayangan selepas diambil untuk tujuan itu,” katanya.
Tidak kisah berhabis ribuan ringgit, Alias sentiasa mendapat sokongan isteri, Romah Mamat, 66, yang turut membantu membersihkan koleksi itu.