Model Perodua D66B, Proton S50 dan Smart antara model yang dijangka akan diperkenalkan ke pasaran tempatan dalam tempoh yang terdekat, menurut Kenanga Investment Bank.
Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, berkata model-model Proton dan Perodua akan terus mendapat sambutan dengan harga yang kompetitif berbanding jenama bukan nasional.
“Mereka juga menawarkan ciri-ciri teknologi yang dipertingkatkan seperti speedometer digital, enjin cekap bahan api dan kotak gear responsif tinggi serta ciri-ciri keselamatan seperti bantuan brek automatik dan empat hingga enam beg udara,” katanya.
Beliau berkata, Perodua terus mendahului dalam perlumbaan model baharu dengan pelancaran Perodua Axia serba baharu tahun ini dengan antara ciri yang dipertingkatkan seperti meter kelajuan digital dan bantuan brek kecemasan.
Katanya, ia diikuti dua lagi model dipertingkatkan tahun ini, dan satu model baharu pada awal tahun depan iaitu Perodua D66B dalam segmen B.
“Proton baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) pertama, Proton X90 serba baharu, dan merancang untuk melancarkan Proton S50 (sedan segmen C) dan Smart (BEV) menjelang akhir tahun, selain lima model dipertingkatkan tahun ini,” jelasnya.
Pihaknya mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2023 sebanyak 720,000 unit, yang mana akan sepadan dengan tahap rekod yang dicapai pada 2022 dan selaras dengan 725,000 unit yang diunjurkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
“Kami mengunjurkan TIV pada 2024 sebanyak 710,000 unit, kurang sedikit berbanding tahun sebelumnya kerana (jangkaan) pengenalan subsidi bahan api bersasar.
“Kami percaya kereta baharu masih menjadi perhatian bagi kebanyakan isi rumah Malaysia walaupun inflasi yang tinggi dan ekonomi global yang perlahan.
“Kami kini melihat peluang yang lebih besar dalam segmen yang berpatutan kerana ia akan kurang terjejas oleh pengenalan subsidi bahan api yang disasarkan yang mungkin menjejaskan permintaan untuk kenderaan pasaran pertengahan kerana ia akan mengikis kuasa perbelanjaan kumpulan M40,” katanya.