Peruntukan RM4.7 bilion menaiktaraf stesen transit aliran ringan (LRT3) Laluan Shah Alam bakal memberi manfaat kepada dua juta pengguna di sepanjang koridor berkenaan.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)menyambut baik Belanjawan Madani Kedua yang dibentangkan Perdana Menteri.
Prasana berkata, belanjawan memperuntukkan sejumlah RM4.7 billion untuk menaik taraf projek LRT3 (LRT Laluan Shah Alam) dan juga sistem sokongan adalah satu berita baik bagi pengguna pengangkutan awam, khususnya yang berada di koridor barat Lembah Klang meliputi kawasan dari Johan Setia, Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya.
Menurutnya, ia bakal memberi manfaat kepada 2 juta pengguna di sepanjang koridor berkenaan.
“Peruntukan itu akan digunakan bagi mengembalikan semula lima stesen yang ditangguhkan pembinaannya sebelum ini, iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
“Pengembalian stesen-stesen ini dijangka mampu menambahbaik kesalinghubungan perkhidmatan LRT3.
“Selain itu, peruntukan ini juga merangkumi perolehan tiga set tren tambahan, penambahbaikan sistem sokongan dan perluasan depoh sedia ada di Johan Setia,” katanya.
Kerajaan juga membuat peruntukan bagi inisiatif pas bulanan My50 untuk pengguna pengangkutan awam yang akan memberi manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.
“My50 adalah pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.
“Perolehan 150 unit bas elektrik dan pembinaan tiga depoh bas oleh Prasarana dengan kos RM600 juta bagi menyediakan kemudahan batuan pertama dan terakhir (First Mile Last Mile) untuk projek LRT3 adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih,” katanya.