Nissan mendedahkan Hyper Force, sebuah kereta sukan elektrik penuh dengan kuasa 1,341hp.
Walaupun, Nissan mengelak untuk menyatakan model konsep itu memiliki DNA GT-R, anda boleh melihat persamaan produk popular syarikat itu pada Hyper Force.
Ia menampilkan teknologi kawalan pacuan semua roda e-4ORCE, badan lebih ringan dan menggunakan bateri solid.
Menurut pihak pengeluar, kereta sukan konsep itu bagi menarik peminat sukan pemotoran dan ‘gamer’.
Walaupun Nissan tidak memberikan butiran atau spesifikasi terperinci tentang Hyper Force, jelas kereta itu mendapat manfaat imbangan berat optimum dan pembinaan karbon ringan termasuk roda gentian karbon.
Ia juga menampilkan sepasang mod, GT untuk Grand Touring dan R untuk perlumbaan.
Presidan dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida berkata kesemua lima model konsep yang dipamerkan pada Pameran Mobiliti Jepun itu merupakan simbol masa depan.
“Menjelmakan semangat pengasas kami untuk berani melakukan apa yang orang lain tidak lakukan.
“EV melambangkan masa depan kami untuk mencipta dunia yang lebih bersih, selamat dan lebih inklusif untuk semua orang tanpa menjejaskan keghairahan dan impian,” katanya.
Hyper Force juga mendapat beberapa ciri super futuristik untuk membezakannya dengan model konsep lain. Itu termasuk aero aktif dalam bentuk kanard, lip depan, spoiler belakang dan lubang fender.