Mavcom keluar surat tunjuk sebab terhadap MYAirline

294

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membuka siasatan terhadap MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober lalu susulan pengumuman penangguhan operasi syarikat itu pada 12 Oktober lalu. 

Surat tunjuk sebab itu menyatakan kegagalan MYAirline untuk memenuhi syarat-syarat Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), termasuk pembayaran gaji dan faedah pekerja yang masih belum dijelaskan.



MYAirline diperintahkan untuk mengemukakan penjelasan bertulis sebelum 27 Oktober 2023.

Sebaik menerima penjelasan bertulis MYAirline, Mavcom akan menilai sama ada MYAirline layak untuk kekal sebagai pemegang ASL, atau sama ada ASL MYAirline harus digantung atau dibatalkan menurut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Maklumat terkini berkaitan siasatan itu akan diumumkan minggu depan. Selain itu, Mavcom turut menyiasat MYAirline dengan lebih lanjut untuk sebarang kemungkinan pelanggaran syarat ASL, antara lain.

Mavcom dalam kenyataan berkata, berkenaan bayaran balik kepada pengguna yang terjejas, pihaknya telah berhubung dengan pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengusahakan semua pilihan yang berkemungkinan dalam mendapatkan bayaran balik bagi pengguna.

“Mavcom akan memaklumkan sebarang kemaskini dengan bayaran balik sewajarnya,” kata suruhanjaya itu.

Sementara itu, Mavcom telah menubuhkan Pasukan Petugas yang terdiri daripada seorang Ahli Suruhanjaya, Anggota-anggota Jawatankuasa Perundangan, Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Penyelesaian Pertikaian, serta Jawatankuasa Perlindungan Pengguna.

Ia diberi mandat untuk menyiasat bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberi cadangan mengenai langkah seterusnya.

“Walaupun rangka kerja kelulusan pelesenan sedia ada yang terpakai kepada semua pemegang lesen baharu dan sedia ada adalah komprehensif, Pasukan Petugas akan turut menyemak semula rangka berkenaan bagi sebarang penambahbaikan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here