Zizan Razak membuat kejutan dengan menghadiahkan Yamaha XMax 250 kepada abangnya, Hafiza Razak.
Menerusi video yang dikongsi di akaun TikTok Hafiza itu, mereka mengunjungi kedai motor Boss James untuk melihat motosikal.
“Mula-mula adik aku ajak pergi tengok motor, aku follow ajela. So aku tengok jela puas-puas.
“Tiba-tiba adik suruh aku test motor, dah habis test, just sembang-sembang ajela..tiba-tiba deal macam nak beli,” tulisnya.
Hafiza tidak menyangka kunjungan tersebut bukanlah sekadar melihat motor apabila Zizan menghadiahkan skuter maksi tersebut kepadanya.
@hafizarazak869 Alhamdulillah rezeki… Kena suprise moto… Thanks my adik @zizanrazak869 @Boss James @Dr Davina Markus
Menerusi laporan Harian Metro, Zizan menyatakan abangnya sudah lama menyimpan impian untuk mendapatkan skuter tersebut.
“Abang saya dah lama berkenan dengan skuter itu. Saya pun minat juga, tapi kalau saya beli takut tak guna.
“Disebabkan dia nak dari tahun lepas, saya fikir apa salahnya saya hadiahkan skuter itu. Lagipun kami dua beradik saja, apa salahnya saya belikan untuk abang sendiri.
“Sayapun tak pernah beri hadiah kenderaan untuk dia selama ini. Jadi saya hadiahkan skuter itu dan nampak dia bahagia kerana nak guna untuk pergi kerja,” katanya.
Yamaha XMax 250 dijual pada harga cadangan pengilang RM22,298 (tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans).
Ia menggunakan enjin 250cc silinder tunggal dengan kuasa 22.5hp dan tork 24.3Nm bersama transmisi automatik tali sawat. Kapasiti tangki bahan api bersaiz 13.2 liter.
Video yang dikongsi Hafiza itu mendapat lebih 1.5 juta tontonan dengan lebih 56,000 tanda suka.