Didi Group, pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia memperkenalkan SR GT Replica dan Aprilia RS660 Extrema ke pasaran tempatan.
Harga cadangan jentera berkenaan:
- SR GT200 Replica : RM20,900
- RS660 Extrema : RM79,900
Skuter urban Aprilia SR GT direka untuk keseronokkan tunggangan harian. Versi Replica menawarkan aura estetika jentera Aprilia RS-GP Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.
Gaya perlumbaan diserlahkan menerusi warna badan hitam kusam dengan kemasan grafik merah dan ungu serta garisan sporty.
Hendal penumpang juga disembur dengan cat warna badan. Pada bahagian rim Aprilia memilih warna hitam dengan padanan warna merah bersama rekaan bunga tayar sukan jalanan dan bukannya ‘all terrain’ yang besar.
Bakal pemilik yang ingin memperibadikan SR GT Replica, anda boleh menyematkan nombor pelumba MotoGP Aprilia Racing, Aleix Espargaró dan Maverick Viñales pada skuter tersebut.
Aprilia RS660 Extrema
Aprilia RS660 Extrema pula merupakan versi sporty bagi rangkaian RS660 sedia ada. Namanya mengingatkan kepada Aprilia 125 Extrema, salah satu prestasi tertinggi dan lapan liter terpantas pernah dikeluarkan dari 1992 hingga 1994.
Terima kasih kepada peralatan standard baharu dan diperhalusi, RS660 Extrema hanya seberat 166kg dan menetapkan aras baharu bagi nisbah berat ke kuasa. Sekaligus menawarkan keseronokkan tunggangan di litar.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan peralatan standard istimewa misalnya sistem ekzos baharu yang lebih ringan oleh SC Project dengan silencer karbon.
Aprilia juga menggunakan pendakap silencer aluminium anodis hitam yang membolehkan pemilik menanggalkan pemijak kaki penumpang belakang dan mengurangkan berat jentera.
Selain itu, berat jentera lebih ringan disumbangkan rekaan baharu madgad depan dan belly pan dengan gentian karbon berkualiti tinggi. Karakter sporty RS660 Extrema diserlahkan dengan pelana tunggal.
Ciri keselamatan yang ditawarkan antaranya kawalan traksi, ABS selekoh, brek enjin, pemetaan enjin dan kawalan wheelie yang mana semuanya boleh dilaras.
RS660 Extrema juga memiliki perisian yang membolehkan penunggang menetapkan konfigurasi quick shifter.