Isu kadar upah e-hailing tidak masuk akal bukanya dibuat-buat

382

Gabungan eHailing Malaysia mendesak Kementerian Pengangkutan mengakui kelemahannya dalam mengawal selia industri e-hailing terutama melibatkan isu kadar upah yang dikatakan sebagai tidak masuk akal.

Ketua Aktivisnya, Jose Rizal menyuarakan pandangan susulan jawapan  Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Parlimen mengenai isu kadar upah terlalu rendah dan tidak berbaloi kepada penggiat e-hailing.



Loke berkata penentuan harga lantai tambang e-hailing adalah kompleks dan perlu diimbangi antara pemandu dengan pengguna.

“Sekiranya harga lantai ditetapkan, tambang ke atas pengguna juga mungkin meningkat dan pembolehubah seperti kesesakan trafik, cuaca, jarak, masa, jumlah permintaan serta jumlah penawaran, menentukan padanan tempahan dengan penawaran secara langsung,” kata beliau.

Rizal berkata, alasan tersebut terlalu sinis, tidak serius dan seakan-akan tidak bertanggungjawab mengambil kira kedudukannya selaku menteri yang berkuasa dan mempunyai segala kemudahan dan kelengkapan data semasa.

“Jangan pula hendak ditutup kelemahan agensi dan jabatan dipertanggungjawabkan dengan kenyataan sedemikian.

“Berpijaklah di bumi nyata, turun ke lapangan sendiri dan dapatkan maklumat secara terus dari semua pihak, bukannya dengan hanya bergantung data berat sebelah yang hanya diperoleh dari pihak operator atau syarikat,” katanya.

Tegasnya, kadar upah yang tidak masuk akal dan tidak berpatutan adalah masalah sebenar dan bukannya dibuat-buat.

Malah, beliau menyifatkan Kementerian Pengangkutan sebagai lemah dalam memahami dan mengimbangi kehendak keseluruhan ekosistem industri baharu e-hailing.

“Hal ini telah beberapa kali pihak kami nyatakan dan sampaikan dalam beberapa siri serahan memorandum, resolusi dan persidangan, namun tidak ada pihak benar-benar ingin mengambil tanggungjawab secara holistik,” ujarnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here