Seorang pemandu jengkaut didenda RM8,000 di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bermain mercun hingga membahayakan nyawa dan merosakkan harta awam, Jumaat lalu.
Tertuduh, P Manimaran, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara 10 bulan.
Manimaran sebelum itu teragak-agak untuk membuat pengakuan bersalah sebaik mendengar hukuman penjara dan denda sehingga RM10,000 yang boleh dikenakan jika disabitkan bersalah atas pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan sesuatu perbuatan dengan niat hendak menyebabkan dengan menggunakan bahan letupan, suatu letupan dari jenis yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau menyebabkan kerosakan teruk pada harta.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 3 petang, 10 November lalu di Simpang Tiga Jalan Kuala Sawah- Ulu Sawah, Rantau, Seremban.
Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Redzuan Hakiim yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda yang paling minimum memandangkan Manimaran berpendapatan RM1,500 sebulan selain mengambil kira pengakuan bersalahnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang lain.