Jalan licin punca kemalangan empat buah motor melibatkan Beto Kusyairy

472

Jalan licin dipercayai menjadi punca kemalangan empat buah motosikal termasuk yang ditunggang pelakon, Beto Kusyairy di KM439, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asnawi berkata, keadaan permukaan jalan yang licin itu disebabkan oleh cuaca hujan pada hari kejadian.

“Siasatan mendapati, kejadian pada jam 5.30 petang itu melibatkan dua konvoi bermotosikal yang mana lima orang penunggang skuter Yamaha XMax yang dalam perjalanan dari Sepang ke Gurun manakala 60 buah Harley Davidson disertai beberapa artis tempatan pula dalam perjalanan dari Sungai Buloh ke Ipoh.



“Kemalangan itu menyebabkan dua buah Yamaha XMax dan dua buah Harley Davidson mengalami kerosakan.

“Kesemua penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan di hospital mendapati, dua penunggang motosikal masing-masing berusia 43 tahun cedera ringan manakala seorang penunggang motosikal berusia 37 tahun pula parah.

Terdahulu, Beto, 43, dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan berhampiran Ladang Bikam, selepas motosikal yang ditunggangnya terjatuh akibat bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.

Insiden itu dikongsi pengurus vokalis Wings Datuk Awie, Shahrul Nizan Ramli yang memaklumkan dua peserta konvoi, termasuk Beto kini dirawat di Hospital Tapah.

Difahamkan, konvoi seramai 60 peserta Solidariti Wings Motogang Society yang diketuai Awie itu bergerak dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sekitar jam 4 petang kelmarin. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here