Seorang wanita Thailand yang masih berstatus isteri ingin menjual keretanya bagi berkahwin dengan teman lelaki.
Oleh kerana kekurangan bajet, dia memutuskan untuk menjual Toyota Vios miliknya bagi membiayai perkahwinan dan terbuka untuk menawarkan diskaun kepada pembeli.
Seorang lelaki Thailand, Nipon Phosi, terjumpa papan tanda jualan kereta dengan mesej unik dan memutuskan untuk berkongsi dengan beberapa agensi berita.
“Jualan segera! Mencari bajet untuk berkahwin dengan kekasih saya. THB90,000 (RM11,988). Tunai sahaja. Sentiasa terbuka untuk rundingan.”
Harga pasaran Toyota Vios tahun 2005 itu adalah THB 99,000 (RM13,187). Pemilik kereta yang dikenali sebagai Angsumalin mengakui informasi yang ditulis pada papan tanda jualan tersebut adalah benar.
Dia sudah berkahwin tetapi telah jatuh cinta dengan lelaki lain yang merupakan rakan sekerjanya.
Angsumalin berkata dia ingin mengahwininya secepat mungkin. Bagaimanapun, cara pantas bagi mengumpul wang adalah dengan menjual keretanya.
Angsumalin mendedahkan dia sanggup memberi diskaun sekiranya ada pelanggan yang serius ingin membeli sedan itu.
“Saya sangat memerlukan wang itu. Teman lelaki saya mahu berkahwin dengan saya. Kami sudah tetapkan tarikhnya tetapi kami masih tiada wang,” katanya.
Angsumalin turut berkongsi perspektifnya tentang mempunyai dua suami.
“Ia adalah era baharu. Wanita dengan dua suami akan menang. Jangan berputus asa dengan ketidaksamaan jantina. Seorang lelaki boleh mempunyai dua isteri dan saya juga boleh. Tolong bantu saya membeli kereta itu. Bakal suami saya sedang menunggu,” jawabnya.