S70 bukan sedan segmen-B…ini jawapan Proton

12457

Proton S70 merupakan produk keempat versi rebadge Geely. Walaupun China lewat memasuki pasaran automotif, kini beberapa jenama kenderaan negara itu mendahului pesaingnya yang lebih dahulu bertapak.

Konsep tawaran kenderaan China bukan sahaja cantik namun membekalkan teknologi termaju melebihi pesaing dalam segmennya misalnya keselamatan, ketersambungan dan aksesori dengan harga yang berbaloi.



Tawaran yang sama juga bakal anda dapatkan pada Proton S70. Berikut informasi ringkas yang perlu anda tahu tentang sedan terbaharu Proton tersebut: 

SEGMEN B ATAU C?

Dua minggu lalu, kami berpeluang menyertai sesi pandu uji Proton S70. Setelah mencuba kesemua ujian keselamatan misalnya Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Depan (FCW) dan Kawalan Kruise (ACC), kami beralih pada ujian pecutan 0-100kmj. 

Timbul kekeliruan apabila Proton meletakkan Toyota Vios dan Honda City sebagai pesaing S70 pada ujian kelajuan maksimum tersebut. 

Motoqar mengajukan soalan kepada individu penyelidikan dan pembangunan (R&D) Proton yang berada di lokasi ujian.

Jelasnya, pihak R&D memposisikan sedan itu dalam segmen-B dan menjadikan Nissan Almera sebagai pesaing utama ketika pembangunan dan ujian S70. 

“Cuma daripada segi reka bentuk, tawaran ciri peralatan dan dimensi, S70 berada dalam kategori segmen-C,” jelasnya. 

Berasaskan Geely Emgrand, model itu berdiri di atas platfrom BMA dengan pakej enjin 1.5 liter NA dan CVT meletakkan ia dalam segmen B Asean. 

Cuma keadaan menjadi rumit, apabila Proton menggunakan nama ‘S70’ yang sebaris dengan Proton X70 dalam segmen-C.  

MALAYSIA TERIMA SPESIFIKASI LEBIH TINGGI 

Namun, pada sidang media yang diadakan selepas sesi pandu uji, Proton menyatakan S70 di bawah segmen-C.

Mengapa segmen-C?. Proton S70 pasaran Malaysia menerima spesifikasi tertinggi berbanding negara Asia Tenggara yang lebih awal menjual Geely Emgrand.

Proton S70 didatangkan dengan enjin 1.5L turbo 3-silinder yang menghasilkan kuasa 150PS dan tork 226Nm bersama transmisi dual klac 7-kelajuan. Janakuasa ini turut digunakan pada X50 Standard, Executive dan Premium. 

Selain itu, S70 didatangkan dengan mod pemanduan Eco, Comfort dan Sport. Manakala Geely Emgrand Filipina misalnya menerima enjin 1.5 litre NA 4-silinder yang menghasilkan kuasa 102PS @ 5,600rpm dan tork 142Nm @ 4,400-4,800rpm bersama CVT.

DIMENSI LEBIH BESAR 

Seperti yang dinyatakan oleh pihak R&D Proton, S70 memiliki dimensi lebih besar berbanding pesaing sedia ada dalam segmen-B. 

Perbandingan di bawah menunjukkan S70 lebih panjang 58mm berbanding Honda City dan Toyota Vios pula lebih pendek 213mm.

Daripada segi jarak roda, S70 memiliki kelebihan +74mm (City) dan +82mm (Vios). Sementara ketinggian S70 lebih rendah berbanding dua pesaing berkenaan. 

Mengelirukan bukan?…terserah pada anda ingin meletakkan Proton S70 di bawah segmen-B mahupun C atau B+. 

100 PERATUS SAMA DENGAN GEELY EMGRAND?

Pada sesi sidang media yang dianjurkan, Proton menyatakan ubahsuai S70 bukan sekadar perubahan pemanduan kiri kepada kanan.

Pemindahan tersebut saja melibatkan pembangunan 453 alat ganti baharu dengan penglibatan 283 pembekal tempatan. Sedan itu mempunyai 145 alat ganti pemasangan tempatan (CKD) dan 24 alat ganti buatan dalaman Proton. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah menyatakan syarikat itu menyasarkan penggunaan kandungan tempatan 68 hingga 70 peratus dalam tempoh beberapa tahun.

Selain itu, secara visual luaran S70 hanya berbeza pada penggunaan gril, lencana nama serta logo.

Tetapi tahukah anda, perbezaan S70 dengan Emgrand melibatkan penambahbaikan sekitar 70 peratus melibatkan teknikal talaan antaranya enjin, suspensi dan transmisi serta brek.

Proton menala suspensi S70 mengikut kesesuaian jalan di Malaysia dengan memfokuskan keselesaan dan praktikaliti penggunaan harian.
 
Motoqar juga mendapati karakter brek S70 menawarkan cengkaman yang kuat tidak seperti versi rebadge yang lain.
 
Pihak R&D menala karakter sporty pada brek S70 yang berbeza dengan model asasnya. Begitu juga dengan pelarasan pendingin hawa mengikut cuaca di Malaysia.
 
Selain itu, Proton menjelaskan pemilihan enjin 1.5 turbo mengambilkira sasaran penggunaan bahan api mengikut keperluan pasaran di Malaysia. Proton menjelaskan S70 menjalani ujian enduran sejauh 1.2 juta kilometer. 

SISTEM ADAS HANYA PADA DUA VARIAN TERATAS

Proton menjelaskan Sistem Bantuan Keselamatan Termaju (ADAS) hanya ditawarkan pada dua varian teratas iaitu Flagship dan Flagship X.

Proton S70 didatangkan dengan 12 sensor merangkumi kamera monokular, dua radar gelombang milimeter di belakang, kamera keliling (360 darjah) dan lima sensor ultrabunyi.

Ada 13 sistem keselamatan ADAS yang dilengkapi pada Proton S70:

  • Amaran Perlanggaran Depan
  • Brek Kecemasan Autonomi
  • Kawalan Kruise Adaptif dengan Stop & Go
  • Kawalan Kruise Pintar
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Kawalan Tengah Lorong
  • Maklumat Papan Tanda Trafik
  • Kawalan Lampu Tinggi Pintar
  • Bantuan Tukar Lorong
  • Amaran Buka Pintu
  • Amaran Perlanggaran Belakang 
  • Amaran Trafik Belakang 

 

 

 

 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here