Tesla menang kes saman terhadap seorang wanita yang mendakwa brek keretanya tidak berfungsi sehingga menyebabkan kemalangan.
Insiden berlaku apabila pemilik Model 3 itu melakukan protes terhadap Tesla di Pameran Kereta Shanghai, April 2021 dengan menyarung baju-t tulisan ‘kegagalan brek’ dalam bahasa Cina.
Tesla menafikan tuduhan itu dan menyaman wanita yang dikenali sebagai Li dari Xi’an. Hari ini, mahkamah mengarahkan penunjuk perasaan tersebut memohon maaf secara terbuka, membayar ganti rugi kepada Tesla, dan menampung kos penilaian kenderaan.
Li mendakwa terlibat dalam satu kemalangan pada Mac 2021 yang berpunca daripada kegagalan brek.
Semasa perbicaraan, mahkamah melantik sebuah agensi bebas untuk menilai brek Model 3 Li dan hasilnya komponen itu dalam keadaan baik.
Li diperintahkan untuk memadam komen yang merosakkan reputasi Tesla di media sosial dan membayar CNY2,000 (RM1,307) kepada Tesla untuk ganti rugi, CNY25,390 (RM16,604) bagi yuran guaman dan CNY20,000 (RM13,079) untuk penilaian kenderaan.
Pada protes berkenaan seorang pemilik, Zheng dari wilayah Henan turut menyertai Li dengan berdiri di atas bumbung Tesla Model 3.
Zheng mendakwa Tesla Model 3 miliknya hampir meragut nyawa keluarganya selepas terlibat dalam kemalangan akibat kegagalan brek.
Bagaimanapun, hasil pemantauan sistem Tesla mendapati brek berfungsi dengan baik dan dibantah oleh Zheng.
Kejadian itu menjejaskan imej Tesla di China sehinggakan mendapat liputan media walaupun kegagalan brek tidak terbukti.
Beberapa pemilik Tesla malah dinafikan hak meletak kenderaan di parkir awam kerana ditolak sekuriti tempatan dan meminta pemilik membaiki brek kenderaan mereka terlebih dahulu.
Justeru itu, Tesla mengambil pendirian tegas dan menyaman pemilik dan pempengaruh yang mengambil kesempatan membuat konten menerusi isu berkenaan.
Strategi tersebut berjaya apabila sebahagian pempengaruh mengaku mereka cerita kegagalan brek untuk mendapatkan lebih banyak interaksi. Dalam kes lain, siasatan membuktikan bahawa pemandu tersilap menekan pedal pecutan dan bukannya pedal brek.