Hab pengecas 360kW pertama Shell Recharge bakal dibuka di Resort World Genting

324

Shell Recharge bakal membuka 10 ruang pengecasan lengkap dengan pengecas berprestasi tinggi (HPC) ultra-pantas 360kW di Resorts World Genting menjelang awal tahun hadapan.

Dijayakan melalui kerjasama strategik dengan Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Berhad, hab EV itu akan menjadi penambahan baharu kepada rangkaian Shell Recharge EV sedia ada .

Kini, Shell Recharge EV memiliki 136 stesen pengecas yang terletak di kawasan strategik sekitar bandar utama dan di sepanjang lebuh raya di Semenanjung Malaysia, menghubungkan Singapura, Malaysia dan Thailand.



Hab pengecasan semua-dalam-satu yang bakal dibuka itu akan memuatkan 10 pengecas yang terdiri:

  • Empat pengecas berprestasi tinggi 360kW
  • Enam pengecas AC 22kW. 

Semua pengecas disertakan dengan penyambung pengecasan CCS Type 2, yang membolehkan pemandu EV menikmati pengalaman pengecasan yang sangat pantas di puncak bukit.

Pengurus Besar, Mobiliti, Shell Malaysia, Seow Lee Ming (kiri gambar di atas) berkata dengan penambahan 10 ruang pengecasan di puncak Resorts World Genting, pihaknya terus mengorak langkah ke hadapan dengan komitmen yang berterusan bagi membolehkan penyelesaian pengangkutan bersih-sifar di Malaysia. 

“Pengguna EV seluruh negara dapat memandu ke lokasi peranginan utama ini tidak lama lagi tanpa perlu khuatir akan kebimbangan jarak dengan rangkaian Shell Recharge kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Porsche Sime Darby Auto Performance Sdn Bhd, Christopher Hunter (kanan gambar di atas) berkata usahasama  dengan Shell Recharge membuktikan komitmen dalam membolehkan perjalanan jarak jauh, rentas sempadan dengan memandu EV, melalui tiga negara iaitu Thailand, Malaysia dan Singapura. 

“Kami amat teruja dapat meningkatkan pengalaman pengecasan yang lebih lancar untuk pemilik Porche Taycan dan lain-lain model kereta elektrik Porche. 

“Melalui hab pengecasan 360kW DC Shell Recharge yang berprestasi tinggi di Resorts World Genting, kelajuan mengecas ultra-pantas hanya mengambil masa 20 minit bagi peningkatan sebanyak 5-80 peratus untuk kapasiti bateri elektrik yang dicas atau juga disebut sebagai State of Charge (SoC),” katanya.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Naib Presiden Kanan, Pembangunan Hartanah dan Projek, Genting Malaysia Berhad, Gary Chen Wing Kong (duduk kanan gambar di atas). 

Harga Shell Recharge bersamaan kilowatt-jam:

Shell Recharge turut mengumumkan peralihan mekanisma harga bersamaan kilowatt-jam (kWj). Pelanggan boleh mengecas dengan kadar kWj baharu apabila mereka mengecas dengan pengecas AC di seluruh negara bermula pada 1 November manakala bagi stesen pengecas DC, mulai 15 Disember. 

Model Shell Recharge turut mengekalkan yuran tempahan dan bakal melaksanakan caj terbiar bagi semua model pengecasan yang berbeza bertujuan untuk memberi keutamaan ruang letak kereta pintar untuk pemilik EV.

Untuk perjalanan yang lancar tanpa bimbang, pelanggan masih boleh menempah tempat letak kereta melalui aplikasi ParkEasy Shell. Ciri-ciri lain termasuk akses navigasi untuk memudahkan pelanggan EV mencari ruang yang tersedia dan penghadang di tempat letak kereta untuk ruang tersedia untuk mereka.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Shell Recharge HPC di Resorts World Genting, layari: https://www.shell.com.my/motorists/shell-recharge/shell-recharge-hpc.html 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here