Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memanggil balik 6,671 unit kenderaan susulan penemuan isu keselamatan atau kecacatan pada beg udara Takata yang mungkin meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna.
Model yang terjejas melibatkan keluaran 2010 dan 2014 iaitu :
- Golf GTI generasi ke-6
- Eos
- Passat CC
- Polo
- Beetle
- Vento
Kempen panggil balik itu melibatkan penjana perumah beg udara depan yang mana risiko pendorong generator akan rosak akibat kelembapan udara yang tinggi dan turun naik suhu dalam jangka masa panjang.
Ini boleh membawa kepada potensi kecederaan pada pemandu dan penumpang. Justeru itu, VPCM mengambil langkah keselamatan memanggil balik kenderaan yang terkesan di seluruh negara secara berperingkat.
Pemilik akan dimaklumkan menerusi e-mel dan WhatsApp, dan pelanggan yang membeli kenderaan daripada pemilik terdahulu atau pengedar kereta terpakai dinasihatkan segera hubungi pengedar sah Volkswagen berhampiran.
Dalam kempen panggil balik tersebut proses penggantian akan dilakukan secara percuma. Untuk mengenalpasti kenderaan terlibat boleh layari laman web rasmi VPCM.