Isu tompokan najis burung yang banyak terdapat di pekarangan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh mendapat perhatian pihak berwajib dan telah dibersihkan demi keselesaan orang ramai.
Perkara itu dimaklumkan jurucakap KTM Berhad yang mengakui stesen berkenaan sering dibelenggu masalah najis burung sebelum ini. Susulan pekarangan Stesen KTM itu menjadi lokasi pilihan bagi burung berteduh.
“Kami ambil maklum akan permasalahan ini, stesen ini sering dibelenggu masalah berkenaan (najis burung).
“Kami akan bekerjasama dengan pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Bagi penyelesaian jangka pendek, pancang burung (bird’s spike) diletakkan secara berperingkat di kawasan laluan utama penumpang.
“Ia bagi mengurangkan jumlah burung berteduh dan bertenggek, di samping pihaknya akan melakukan kerja pembersihan secara kerap di lokasi tersebut,” tambahnya.
Sementara itu, RAC turut memberi maklum balas bahawa pihaknya telah menjadualkan kerja pembersihan di bangunan Hotel Majestic dan beberapa kawasan berhampiran.
Sebelum ini, media melaporkan ramai pengunjung yang merungut dan menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu kebersihan dan keadaan najis burung di situ.
Tompokan najis burung yang jelas kelihatan bertepek di atas jalan, lantai serta tiang stesen keretapi itu bukan sahaja mencacatkan imej sebagai bangunan warisan, tetapi juga terkesan dengan sambutan Tahun Melawat Perak 2024.
Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, stesen berusia lebih 100 tahun itu menerima ribuan pengguna setiap hari.