Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 20 motosikal yang ditunggang warga asing dalam Ops Khas Motosikal dan Ops Pemandu Warga Asing (PeWA) di persimpangan Jalan Bayu Mutiara, Bukit Minyak, Pulau Pinang, semalam.
Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, antara kesalahan yang dikesan dalam dua operasi itu ialah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) Tamat Tempoh serta tiada insurans selain kesalahan teknikal lain antaranya tiada cermin sisi dan mengubahsuai motosikal tanpa kebenaran.
Semakan mendapati 14 daripada 20 motosikal yang disita adalah milik warga tempatan, yang memberi kebenaran kepada warga asing untuk menunggangnya.
“Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan semua motosikal itu dibawa ke JPJ untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pihak JPJ menasihati pemilik motosikal supaya mematuhi peraturan, dan tidak sewenang-wenangnya memberi kebenaran kepada kepada orang lain terutama warga asing untuk membawa kenderaan mereka kerana ia akan mengundang lebih banyak masalah terutama jika berlaku kemalangan.
“Kita tidak akan berkompromi dan sekiranya dapat kesan ada warga asing bawa motosikal atau kenderaan lain di atas jalan raya dan tidak patuh kepada peraturan, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.