Honda Malaysia melancarkan CR-V generasi keenam bulan lalu yang mana pengedar rasmi jenama tersebut mendedahkan harga varian V, E dan S.
Terkini, Honda Malaysia mengumumkan harga rasmi varian perdana CR-V e:HEV RS iaitu RM195,900.
Varian tertinggi itu dijana enjin 2.0-liter suntikan langsung 4-silinder Atkinson cycle DOHC menghasilkan kuasa 148PS @ 6,100rpm dan tork 190Nm @ 4,500rpm.
Gabungan motor menjana total output 184PS @ 5,000 – 8,000rpm dan tork 335Nm @ 0-2,000rpm bersama transmisi e:CVT.
Pencahayaan lampu CR-V e:HEV RS menggunakan jenis LED pada bahagian depan, belakang dan signal.
Ia juga didatangkan dengan lampu selekoh aktif, gril hitam ‘mesh’, rim aloi hitam Berlina bersaiz 18-inci serta ekzos dengan kemasan krom.
Melengkapkan penampilan luar adalah pemasangan Gril Penutup Aktif yang meningkatkan aerodinamik dan kecekapan bahan api.
Ciri pertama kalinya pada CR-V itu dipasang di bahagian bawah bampar depan yang akan mengawal aliran udara penyejukan dengan membuka dan menutup penutup secara automatik berdasarkan kelajuan, suhu enjin dan keperluan penyejukan kereta.