Modenas rasmi melancarkan Kymco AK550 Premium ke pasaran tempatan pada harga RM65,600.
Skuter super touring tersebut akan mula berada di pusat jualan sah bermula Februari menerusi dua pilihan warna badan iaitu Flat Brown dan Black.
Mematuhi regulasi Euro 4, AK550 Premium dijana enjin bersesaran 550.4cc DOHC yang menghasilkan kuasa 50.9hp @ 7,5000rpm dan tork 52Nm @ 6,000rpm bersama kotak gear CVT.
Frem aluminium yang direka lebih ringan dan kukuh menawarkan pengalaman tunggangan stabil dan lincah. Ia kemudian dipadankan dengan brek Brembo di bahagian depan.
Berikut antara ciri peralatan yang ditawarkan pada Kymco AK550 Premium:
- Pencahayaan lampu depan dan belakang jenis LED
- Dilengkapi dengan Sistem Brek Pintar Termaju (AIBS) yang menggunakan sensor bagi mengawal tekanan brek pada roda depan dan belakang ketika mengambil selekoh
- Ada dua mod iaitu Full Power dan Rain yang akan menyesuaikan respons kuasa dan pendikit
- Dilengkapi dengan Kawalan Kruise dan Kawalan Traksi serta ciri kunci pintar
- Pelarasan visor penghadang angin secara elektronik
- Slot pengecas USB
- Papan pemuka LCD dengan sambungan bluetooth
- Ruang simpanan di bawah pelana boleh memuatkan helmet muka penuh dan separuh di samping dua ruang glove di bahagian depan
Skuter dengan panjang 2,220 mm, lebar (795 mm) dan tinggi (1,494 mm) itu didatangkan dengan saiz tangki minyak 14.5 liter.
Kymco AK550 Premium didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000km yang mana tiba dahulu.