Mitsubishi Triton terpakai rosak lepas dua hari guna, pemilik dapati odometer diubah dan habis RM17k baikpulih

829
Seorang pengguna Facebook, Khairil CG meluahkan rasa kecewa apabila hanya sempat menggunakan Mitsubishi Triton terpakai selama dua hari sebelum rosak.
 
Lebih mengecewakan, beliau mendapati kondisi trak pikap tersebut tersangat teruk dan menghabiskan RM17,000 untuk baikpulih.
 
Menerusi hantaran yang dikongsi, Khairil membeli Mitsubishi Triton Mivec (2017) tersebut pada 1 Disember lalu di sebuah pusat jualan kenderaan terpakai di Cheras.
 
“Sempat pakai 48 jam sebelum rosak,rupanya memang dah rosak dan ada kesan lumpur, mileage adjust,” tulisnya.
 
Trak pikap yang dibelinya pada harga RM82,000 itu mengalami ‘overheat’ ketika dalam perjalanan ke Kedah pada 3 Disember lalu. 
 
 
Oleh kerana baru tiga hari pemilikan, dia tidak dapat menuntut insurans susulan polisi tidak mencapai tempoh matang (14 hari). 
 
Selepas lima hari kejadian, Khairil menghubungi penyelia jualan bagaimanapun jawapan yang diberikan amat mengecewakan.
 
“Pihak jualan tidak akan bertanggungjawab selepas jual kereta walaupun dalam 48 jam. Semua diserahkan kepada pihak insurans GMR.
 
 
“Pada 13 Disember hantar ke bengkel di Shah Alam untuk pemeriksaan dan pembaikan. Jawapan yang didapati, head bengkok, waterpump berkarat, timing chain haus, belting haus, turbo problem dan condensor aircon bocor. 
 
“Saya dah perasan sebab pick up kurang dan minyak kuat semacam RM150 bagi 450km,” tulisnya.
 
Selain itu, bahagian dalam juga dalam keadaan teruk dipercayai akibat meredah air yang mana lumpur ditemui pada bahagian bawah kotak gear.
 
 
Susulan itu, Khairil mengunjungi pusat servis Mitsubishi bagi mendapatkan rekod penyelenggaraan pemilik Triton sebelumnya. 
 
Dia mendapati perbatuan trak pikap berkenaan adalah 200,000km pada tahun 2020 sedangkan rekod odometer kenderaan yang dibelinya hanya 76,700km.
 
Susulan kerosakan yang dialami, Khairil membelanjakan RM 17,275 bagi baikpulih yang melibatkan:
 

 
1. Kos upah, timing chain dan gasket : RM4,800
2. Head MIVEC terpakai : RM4,600
3. Turbo OEM : RM2,800
4. Kandensor aircon : RM980
5. Set gasket, hos air dan minyak : RM1,800
6. Pam air original : RM580
7. Belting original : RM180
8. Minyak kotak gear depan/belakang : RM380
9. Minyak sintetik penuh 5W30 : RM280
10. injector terpakai : RM500
11. Coolant (4 botol) : RM145
12. Penapis ATF : RM230
 
Sementara itu, pemilik pusat jualan terpakai itu yang merupakan seorang pempengaruh menyatakan akan menyelesaikan isu tersebut.
 
“Saya sendiri akan hubungi pemilik namun beri masa untuk mengetahui tentang kes ini dengan pasukan jualan dan pelanggan dahulu.
 
“Saya tak boleh dengar cerita sebelah pihak tetapi janji akan selesaikan kes ini, nanti saya maklumkan,” tulisnya Adik Jun pada akaun rasmi Facebook. 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here