Lamborghini Diablo VT Roadster milik Presiden Donald Trump di lelong pada acara Scottsdale Barrett-Jackson dengan harga USD1.1 juta (RM5.2 juta) sekaligus menjadikannya salah satu Diablo paling bernilai di dunia.
Trump menempah Diablo dengan warna badan kustom Blu Le Mans pada 1997. Hubungan istimewa Trump dengan Lamborghini memberikannya akses memilih warna biru tersebut walaupun ia tidak ditawarkan pada tahun tersebut.
Ini bermakna Diablo VT Roadster (1997) dengan warna Blu Le Mans itu hanya ada satu di dunia.
Di samping itu, kemasan kustom lain yang dilakukan adalah pemasangan plat khas pada pintu yang bertulis “Donald Trump 1997 Diablo”, menurut Barrett-Jackson.
Mantan Presiden Amerika itu menjual supercar berkenaan pada tahun 2002. Tetapi Lamborghini tersebut dikesan untuk jualan di platform eBay pada 2016. Ia disenaraikan oleh pemilik yang dilaporkan membeli kereta itu pada 2005.
Barrett-Jackson berkata penjualan Diablo Trump menandakan rekod dunia untuk harga lelongan supercar tersebut.
Lamborghini Diablo itu dijana oleh enjin 5.7 liter V12 aspirasi semula jadi yang menghasilkan kuasa 492hp @ 7,000rpm dan tork 584.8Nm dengan transmisi 5-kelajuan manual.
Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 4.1 saat dengan kelajuan maksimum 325kmj dan sistem pacuan semua roda.
Sepanjang jangka hayatnya, Diablo VT Roadster merekodkan odometer rendah iaitu 24,834km dan hanya memiliki dua pemilik.