Ferrari F8 Tributo padat dengan teknologi F1, sambung legasi V8

3386

Ferrari F8 Tributo membuat penampilan sulung di Asia Tenggara dengan pelancarannya di Malaysia hari ini. Ia dilancarkan oleh Naza Italia, pengimport dan pengedar rasmi kenderaan Ferrari di sini.

 



Pengganti Ferrari 488 GTB itu tampil dengan pelbagai penambahbaikan untuk memberikan lebih kawalan dan keselesaan pemanduan. Penambahbaikan ini juga merangkumi aspek aerodinamik, prestasi enjin dan kekal memberi penghormatan kepada legasi V8 enjin tengah jenama Itali itu.

Aerodinamik dipertingkat

Secara kasar, ia sebuah kesinambungan kepada model sebelum ini, 488 GTB. Namun ia 43mm lebih panjang, 27mm lebih lebar dan 7mm lebih rendah. Ferrari F8 Tributo juga 40kg lebih ringan dari kereta sebelumnya.

Ferrari F8 Tributo mendapat beberapa ciri dan teknologi yang diperolehi oleh syarikat itu melalui perlumbaan GT dan Formula 1. Antaranya adalah kecekapan aerodinamik untuk mengawal haba enjin dan radiator depan yang menghadap ke belakang.

“Kemasukan udara enjin dinamik” juga diposisi berdekatan spoiler dan bukan di sisi antara pintu dan tayar belakang. Ini membantu dari segi aliran udara sekeliling kereta dan memastikan udara lebih sejuk yang masuk ke enjin.

Di kawasan lampu depan LED yang kini lebih kecil, terdapat juga kemasukan udara yang menambahbaik aliran udara di dalam gerbang roda (wheel arch) depan serta memberikan penyejukan brek lebih baik.

Di tengah-tengah bahagian depan kereta ini adalah S-Duct yang mengambil udara di tengah bampar depan seterusnya mengalirkannya ke atas bonet. Teknologi yang diambil dari dunia perlumbaan ini memberikan downforce 15 peratus lebih baik berbanding 488 GTB.

Penghormatan kepada legasi model V8

Ferrari turut memberikan penghormatan kepada model-model lama V8 pada F8 Tributo ini. Pertamanya, penggunaan cermin penutup enjin di belakang dari bahan Lexan, serupa dengan model lagenda F40.

Spoiler belakang yang “membalut” lampu LED belakang juga merupakan ciri yang diambil dari model Berlinetta V8 terawal iaitu 308 GTB 1975.

Enjin dan transmisi

Ferrari F8 Tributo dipacu oleh enjin yang telah memenangi anugerah Engine of the Year untuk 2016, 2017 dan 2018 dalam kategorinya.

Enjin 3.9-liter V8 turbo ini menjana 720hp pada 8,000rpm dan 770Nm tork. Ini memberikan pecutan 0 hingga 100km/j dalam 2.9 saat dan 0 ke 200km/j dalam 7.8 saat sahaja. Kelajuan maksima pula ialah 340km/j.

Kokpit

Rekaan dalaman Ferrari ini mengekalkan ciri sama pada model 458 Italia dan 488 GTB. Namun beberapa elemen pada papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah telah direka semula.

Juga baharu ialah ciri Ferrari Dynamic Enhancer (FDE+) yang membolehkan pemandu mengawal kereta dengan lebih baik ketika berada di hadnya. Fungsi ini boleh diakses dari butang Manettino di roda stereng.

Side Slip Angle juga adalah perisian yang terkini iaitu 6.1, memberikan pemandu prestasi yang mudah digunakan.

Tambahan lagi, F8 Tributo dilengkapi roda stereng lebih kecil, Human Machin Interface (HMI) generasi terkini dan paparan penumpang 7-inci.

Harga untuk model Ferrari V8 terpantas ini? RM1,068,000 sahaja tanpa cukai dan kelengkapan tambahan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here