BYD mengumumkan bakal lancar YangWang U9 secara rasmi pada 25 Februari. Supercar elektrik tersebut merupakan produk kedua di bawah YangWang selepas SUV U8.
YangWang U9 menerima lesen jualan pada Disember tahun lalu bagaimanapun harga rasmi supercar itu masih belum didedahkan yang tentunya akan diumumkan ketika hari pelancaran.
Bagaimanapun, poster jemputan BYD untuk majlis pelancaran mendedahkan huruf ‘U’ pada U9 bermaksud Ultimate.
U9 didatangkan dengan empat motor elektrik dengan total ouput 1,287hp. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai di bawah 2.0 saat dengan kelajuan maksimum 300kmj.
Jika anda menjangkakan kereta sedemikian dilengkapi dengan bateri ternary (NMC) yang lebih mahal, maaf anda salah. Menerusi fail homologasi, BYD memilih bateri Blade dengan kimia LFP.
U9 menggunakan platform e4 BYD yang kemudian disokong dengan suspensi DiSus-X dan sistem penstabilan yang membolehkan kereta itu dipandu menggunakan tiga roda dan menari.
Panjang U9 adalah 4,966mm yang sebaris dengan Audi A4 dan BMW 5-series. Manakala lebarnya pula 2,029mm dan tinggi 1,295mm dengan jarak roda 2,900mm.
Supercar tersebut didatangkan aksesori tambahan spoiler gentian karbon yang kemudian dipadankan dengan saiz tayar 275/35 R21 (depan) dan 325/30 R21 (belakang).
Manakala, bentangan kabin adalah gaya tipikal BYD yang agak ringkas jika dibandingkan dengan luarannya yang futuristik. Roda stereng didatangkan dengan banyak butang fizikal dan dua jejari tebal.
Ketika pengeluar EV China saling bersaing dengan tawaran skrin yang besar dan banyak, U9 hanya didatangkan dengan dua skrin kecil di depan pemandu dan penumpang dan skrin menegak kecil pada konsol tengah.
Secara keseluruhan, bahagian dalam mempunyai suasana yang berbeza daripada kebanyakan EV tempatan baharu.
BYD, yang secara tradisinya bergantung pada model pengedar, mengambil pendekatan berbeza dengan jenama Yang Wang.
Ia menawarkan kira-kira 80 wakil jualan yang dikendalikan secara langsung di China pada 2023 dan lebih banyak tahun ini.
September lalu, syarikat itu mengambilalih pusat jualan dan pusat servis BMW, Aston Martin dan Mercedes-Benz.